Siakap Keli

Gangguan Bekalan Air Di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat Dan Sepang

Beberapa kawasan di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang akan mengalami gangguan bekalan air sementara pada 9 Okt ini berikutan kerja penggantian peralatan di Loji Rawatan Air Sungai Semenyih.

Ketua Jabatan Pengagihan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Kelvin Siew Weng Hoe berkata kerja penambahbaikan itu melibatkan penukaran meter air di loji berkenaan yang sudah berusia lebih 20 tahun.

Menurutnya, tempoh pemulihan semula bekalan air di kawasan-kawasan terlibat juga adalah berbeza mengikut lokasi geografi dan altitud premis pelanggan.

“Gangguan bekalan air dijangka bermula pada 9 pagi (9 Okt) dan kita jangkakan tempoh gangguan bekalan ini bakal berlanjutan selama 30 ke 72 jam mengikut kawasan.

Pihak Air Selangor juga akan meletakkan tangki statik dan membuka Pusat Khidmat Setempat  (PKS)  bagi membantu pengguna di kawasan yang terlibat,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media.

Lokasi PKS terletak di Taman Rekreasi Wawasan Puchong; Pusat Perdagangan Seri Kembangan; Rumah Pam Taman Equine; berhampiran Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi; Masjid Taman Putra Perdana, Puchong;  Putrajaya Sentral; Presint 7 Putrajaya dan Taman Dato’ Hormat Teluk Panglima Garang, Banting.

Sebanyak 342,908 akaun pengguna dijangkakan terbabit dalam pelaksanaan kerja-kerja berkenaan.

Antara kawasan utama yang terbabit termasuk Hospital Serdang dan Universiti Putra Malaysia di Petaling, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor di Hulu Langat, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Sepang dan Hospital Banting di Kuala Langat turut terkesan.

Pengguna boleh mendapatkan status terkini mengenai kerja-kerja pembaikan tersebut melalui semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor termasuk laman sesawang rasmi Air Selangor, Facebook, Twitter dan aplikasi telefon bimbit pintar ‘Air Selangor’. – Bernama

Nur Farra