Siakap Keli
Gambar : Unicef

Kenapa Bencana Tsunami Di Sulawesi Sangat Membunuh? Ini Sebabnya

Tsunami dengan ombak setinggi 18 kaki (5.48 meter) pada Jumaat ‘mencuci’ seluruh kawasan berpantai di Sulawesi dengna daerah Palu dan Donggala menerima kesan yang paling teruk. Gempa bumi dan ombak tinggi berkenaan meragut sehingga kini 1,200 nyawa di pulau berkenaan yang didiami sekitar 17 juta orang.  Bukan sahaja meragut korban nyawa yang tinggi, bencana yang sama juga turut memusnahkan harta benda dengan beribu-ribu premis kediaman, hotel dan perniagaan yang ranap sama sekali.

Bencana tsunami yang berlaku itu berasal daripada gempa kedua berkekuatan 7.5 magnitud. Kebanyakkan korban dicatat berlaku di kawasan Palu, bagaimanapun pasukan penyelamat sehingga kini masih gagal untuk mengakses beberapa kawasan yang terjejas disebatkan berlaku pelbagai halangan seperti jalan raya yang rosak dan sistem telekomunikasi yang musnah.

Malah, dianggarkan sekitar 15 gempa susulan turut berlaku di daerah-daerah Sulawesi. Semalam, Indonesia mengeluarkan satu kenyataan di mana semua mangsa-mangsa yang terkorban akan dikebumikan di dalam satu kubur besar.

Gambar : AJPLUS

Mengapa Begitu Membunuh?

Gempa bumi yang berlaku di dasar laut boleh mencetuskan tsunami apabila pergerakkan air bawah laut secara vertikal menghasilkan pergerakkan ombak. Ombak yang dicetuskan oleh gempa bumi boleh bergerak dengan kelajuan mencecah 500 batu per jam (804 km perjam). apabila ombak ini semakin menghampiri pantai, kelajuannya makin berkurang bagaimanapun ketinggian ombak akan bertambah. Antara tanda-tanda awal tsunami apabila air di kawasan pantai surut secara tiba-tiba dan tidak normal.

Antara punca mengapa tsunami yang berlaku pada Jumaat lalu sangat membunuh adalah kerana kurangnya keberkesanan amaran yang dikeluarkan. Malah ada dalam kalangan penduduk tempatan melaporkan bahawa siren tidak dibunyikan. Manakala amaran melalui sistem pesanan ringkas gagal dihantar kepada penduduk-penduduk disebabkan menara telekomunikasi telahpun tumbang akibat kejadian gempa bumi yang berlaku lebih awal.

Gambar : Vox Nesw

Selain itu, media antarabangsa turut melaporkan bahawa agensi yang bertanggungjawab mengeluarkan amaran tsunami turut bersalah kerana telah menarik amaran tsunami terlalu awal, sesetengah media melaporkan bahawa amaran tersebut ditarik 34 minit selepas dikeluarkan. Walaupun Indonesia mempunyai sistem amaran awal tsunami seperti pengesan ombak, accelarometors, dan pengesan aktiviti seismik, namun ketika kejadian berlaku sistem-sistem ini tidak berfungsi dengan begitu baik disebabkan kelemahan dari segi penyelenggaraan. Malah, portal berita BBC lebih keras mengkritik dengan menganggap Indonesia mungkin terlalu memandang rendah terhadap kemungkinan tsunami pada Jumaat itu.

Faktor lain yang disebut media sebagai punca adalah kedudukan geografi wilayah Palu. Palu terletak kira-kira 50 batu selatan daripada pusat gempa selain berada di tengah-tengah kawasan teluk. Teluk itu kemudian berfungsi untuk menyalurkan tsunami besar itu terus ke arah kawasan pusat bandar.

Manakala daerah Donggala terletak di gigi teluk, adalah antara kawasan yang turut terjejas teruk dengan bencana alam ini. Indonesia secara dasarnya dalah sebuah negara antara yang paling padat di dunia dan sebagai sebuah negara pulau, Indonesia tidak ‘menyediakan’ ruang yang banyak untuk penduduknya lari daripada bencana alam. Malah, kerajaan Indonesia sendiri sukar untuk menguatkuasakan kod binaan bangunan yang lebih berdaya tahan ketika dilanda bencana alam seperti gempa bumi.

Tapi yang paling utama, adalah kedudukan Indonesia itu sendiri. Indonesia adalah sebuah negara yang terletak di atas Lingkaran Cincin Api, satu kawasan seluas 25,000 batu persegi di sepanjang Lautan Pasifik. 90 peratus kejadian gempa bumi di seluruh dunia berlaku di kawasan ini dan rumah kepada 75 peratus daripada keseluruhan gunung berapi yang ada di dunia.

Pada 2004, Indonesia turut dilanda kejadian gempa bumi dan tsunami setinggi 100 kaki (30 meter) membunuh lebih 230,000 orang di 14 buah negara dengan Indonesia paling teruk terkesan. Selepas bencana berkenaan, Indonesia melancarkan sistem pemantauan dan pengurusan bencana yang baru, yang kemudian diuji dengan bencana yang berlaku pada Jumaat lepas.

Seperti 2004, bahaya yang lebih besar meunggu selepas bencana berlaku. Dengan kawasan kediaman yang musnah, bekalan tenaga elektrik terputus dan jalan raya rosak teruk, menjadikan beribu-ribu mangsa yang terselamat terdedah kepada persekitaran yang tidak menyenangkan. Ketika ini, Indonesia yang merayu bantuan daripada luar sedang bertungkus-lumus untuk menyelamatkan mereka yang masih hidup dan memberi sinar baru.

Gambar : AJPLUS

Sumber : Vox News

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.