Siakap Keli
Gambar : Bernama

5 Jam Selepas Dilancar, ‘Tabung RM1’ Saiful Bukhari Raih RM555

Dalam tempoh lima jam selepas dilancarkan, ‘Tabung RM1’ milik calon bebas Mohd Saiful Bukhari Azlan berjaya meraih sumbangan sebanyak RM555.

Menerusi satu portal berita tempatan, Saiful percaya kutipan sumbangan yang diibaratkan sebagai bahan bakar kepada kempennya di Parlimen Port Dickson itu bermula dengan baik.

Beliau juga dilaporkan berkata amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang sudi membantunya dan memberi kata-kata positif.

Menurut Saiful, pagi ini beliau menerima RM1 daripada seorang pak cik berusia 80 tahun yang juga bekas ketua kampung di kawasan tersebut sebelum beliau melakukan walkabout atau tinjaun di pasar tani Bagan Pinang.

Pada masa sama, lelaki warga emas itu turut memberi kata-kata semangat kepada beliau. Namun menurut Saiful, kebanyakan penduduk yang ditemui meluahkan rasa kecewa dengan pilihan raya kecil yang diadakan.

Saiful memberitahu ada di antara mereka yang berasa kecewa dan mengambil langkah untuk tidak keluar mengundi. Namun dia merayu kepada mereka semua untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat dengan keluar mengundi.

Pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson yang dijadualkan pada 13 Oktober depan bakal menyaksikan pertandingan 7 penjuru.

Tujuh calon yang bertanding membabitkan Saiful Bukhari Azlan (Bebas), Stevie Chan Kee Leong (Bebas), Datuk Seri Anwar Ibrahim (Pakatan Harapan), Lt Kol Mohd Nazari Mokhtar (PAS), Tan Sri Isa Samad (Bebas), Lau Seck Yan (Bebas) dan Kan Chee Yen (Bebas).

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.