Siakap Keli
Gambar : Bernama

Terkini : Rosmah Ditahan SPRM

Terkini, menerusi satu portal berita tempatan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dilaporkan ditahan jam 3.20 petang ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Beliau akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Jalan Duta pada pukul 8.30 pagi, esok.

Menurut sumber, Rosmah Mansor tiba di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya jam 10.42 pagi dengan menaiki kereta Proton Perdana diiringi beberapa individu bagi memberi keterangan kali ketiga kepada suruhanjaya itu.

Rosmah disoal siasat berhubung syarikat subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd dan pengubahan wang haram.

Mengimbas kembali, kali pertama beliau hadir memberi keterangan di SPRM ialah pada 5 Jun lalu berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Beliau sekali lagi dipanggil memberi keterangan kepada agensi itu pada 26 September lalu, selama hampir 13 jam.

Akhbar sebelum ini melaporkan Rosmah dijangka berdepan lebih 20 pertuduhan jenayah, kebanyakannya membabitkan pengubahan wang haram.

Pada 20 September lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRMĀ  Datuk Seri Azam Baki berkata agensi itu tidak menolak kemungkinan Rosmah akan didakwa dalam masa terdekat.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga memberi keterangan berhubung siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Ibu Pejabat Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) di Menara KPJ, Jalan Tun Razak jam 9.40 pagi tadi.

Berita lanjut menyusul.

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.