Siakap Keli

(Video) Soil Liquefaction, Penjelasan ‘Pembunuh Misteri’ Dari Bawah Tanah Dalam Bencana Sulawesi

Selain gempa dan tsunami yang disebut-sebut sebagai ‘suspek’ utama yang meragut banyak nyawa dalam bencana di Sulawesi, usah kita lupa dengan satu lagi faktor, soil liquefaction iaitu ‘tertuduh ketiga’ yang datang dari bawah dan dakwaan menelan beberapa buah perkampungan.

Ketika angka korban sudahpun melebihi 1200 orang, pasukan penyelamat merasa bimbang jumlah tersebut bakal bertambah setelah beberapa kawasan bencana yang ditenggelami lumpur dan tanah masih lagi tidak ada khabar berita. Jadi kali ini, kami mahu berkongsi dengan anda mengenai soil liquefaction berdasarkan maklumat-maklumat yang boleh diperolehi daripada sumber-sumber antarabangsa.

Apakah Soil Liquefaction?

Dalam kejadian yang berlaku di Sulawesi sehingga tularnya beberapa video, insiden berkenaan berlaku selepas berlakunya gempa kedua berkekuatan 7.5 magnitud dan pada masa yang sama turut mencetuskan kejadian tsunami dengan ketinggian mencecah 5 meter.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=c4sZlz8GuMI]

 

Soil liquefaction boleh berlaku apabila tanah yang sedia berada dalam keadaan longgar tetapi tepu secara tiba-tiba bergoncang, misalnya akibat gempa bumi.

”Apabila tanah berada dalam keadaan longgar, ruang diantaranya akan terisi dengan air. Aktiviti seismik akan meningkatkan tekanan air yang ada dicelah-celah partikel tanah.

”Akibatnya partikel-partikel tanah ini akan kehilangan ikatan antara satu sama lain yang kemudiannya akan menjurus kepada kehilangan daya kekuatan dan keteguhan tanah secara keseluruhan,” kata Dr Stavroula Kontoe daripada Kolej Imperial di London.

Ujarnya lagi, apabila keadaan tersebut berlaku dimana partikel-partikel tanah tidak lagi terikat antara satu sama lain, tanah secara keseluruhan akan kehilangan strukturnya dan akan menunjukkan sifat-sifat seperti cecair.

Gambar : The Masterbuilder

”Dalam bahasa mudah, apabila liquefaction berlaku, kekuatan tanah akan berkurangan dan keupayaan tanah untuk berfungsi sebagai asas kepada bangunan dan jambatan misalnya akan turut berkurangan,” kata Dr Carmine Galasso daripada Universiti College London pula.

Kontoe turut menyambung hujahnya bahawa sesetengah kawasan lebih berisiko untuk berhadapan dengan bencana soil liquefaction ini.

”Tanah yang ditebus guna dan tebing sungai secara tipikil mempunyai lebih banyak tanah longgar adalah kawasan utama dimana soil liquefaction boleh berlaku sekiranya berlaku goncangan yang sangat kuat,” kata ilmuwan wanita ini yang mengandaikan bahawa soil liquefaction berlaku disebabkan gempa bumi berbanding akibat kejadian tsunami.

Ujar beliau lagi, soil liquefaction bukan sahaja memberi ancaman nyata terhadap infrastruktur di atas permukaan seperti permis kediaman dan perniagaan, malah objek-objek seperti paip air, gas dan minyak yang ditanam juga boleh menerima kesan teruk yang sama.

Gambar : depts.washington.edu

Menurut laporan media antarabangsa lagi, kejadian di Indonesia bukanlah yang pertama kali berlaku kerana pada tahun 2011, fenomena yang sama turut meninggalkan kesan yang begitu mendalam pada Jepun selepas gempa bumi kuat yang berlaku. Satu lagi adalah insiden yang berlaku di Christchurch, New Zealand akibat gempa bumi yang berlaku pada tahun yang sama.

Bagaimanapun ujar Kontoe, bencana soil liquefaction bukanlah satu bencana yang langsung tidak boleh dihindari.

”Terdapat beberapa teknik pencegahan yang boleh dilaksanakan untuk mengehadkan kesan atau menghapuskan terus ancaman soil liquefaction. Teknik termasuklah memperkuatkan struktur tanah di kawasan-kawasan yang dikenal pasti berpontensi untuk berlaku soil liquefaction. 

”Ataupun anda juga boleh membina satu sistem untuk mengalirkan cecair daripada kawasan berkenaan dan pada masa yang sama bagi menghalang peningkatan tekanan air semasa berlaku goncangan yang kuat,” kata Kontoe lagi.

Galasso juga menjelaskan bahawa memang terdapat cara untuk mengurangkan risiko soil liquefaction.

”Di kebanyakkan negara, juruter-jurutera perlu mematuhi kod-kod tertentu binaan bangunan yang mengambil kira ancaman soil liquefaction dalam rekaan terbaru mereka termasuklah jambatan, empangan dan struktur penahan.”

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=tW1iUAAMZZU]

 

Sumber : The Guardian

 

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.