Siakap Keli
Gambar : The New York Times

(Video)Lain Dari Yang Lain, Inilah Tapak Pelupusan Sampah Tercantik Di Dunia Sehingga Dikunjungi Pelancong

Jika anda sempat menonton satu video viral yang dibikin oleh seorang pemuda berdarah Arab-Israel mengenai Singapura yang sempat buat orang-orang kita panas, ada satu babak di dalam ada menunjukkan sebuah tempat pelupusan sampah yang langsung lain daripada yang lain, langsung tidak sama dengan apa yang pernah kita lihat di tanah air sendiri.

Kalau ya, itu adalah Pulau Semakau, sebuah pulau yang diangkat sebagai kawasan pelupusan sampah paling cantik dan bersih di dunia. Macam mana boleh wujud pulau khas untuk sampah ni?

Semuanya bermula apabila Singapura yang terlalu kecil tetapi menjadi negara yang sangat berkembang pesat dan dihuni lebih daripada 5 juta penduduk. Walaupun masih ada tanah yang boleh digunakan di pulau berkenaan, namun dengan bertan-tan sampah yang ada setiap hari, pelbagai usaha kitar semula dibuat, ia masih belum cukup sebenarnya.

Penyelesaiannya adalah menggunakan salah satu pulaunya yang kemudian ditambak untuk dijadikan sebagai pulau sampah. Tapi yang uniknya, walaupun sampah terkenal sebagai item yang mencemarkan, di Singapura sampah-sampahnya dikelilingi oleh pelbagai flora dan fauna yang indah-indah belaka. Aneh jika hendak dibayangkan.

Gambar : The Straits Times

Pusat pelupusan sampah Semakau terletak di bahagian timur Pulau Semakau kira-kira empat kilometer daripada Selatan Singapura. Suatu ketika, pulau berkenaan menjadi kediaman kepada keluarga-keluarga nelayan sebelum diambil alih oleh kerajaan pada tahun 1987 berdasarkan perancangan untuk membangunkannya sebagai tapak pelupusan sampah.

Pulau Semakau kemudian menjadi pulau pelupusan sampah yang pertama di dunia dan satu-satunya tempat pelupusan sampah yang ada di Singapura.

Pembinaan pulau ini terbahagi kepada dua fasa dengan fasa pertama bermula pada tahun 1995 dan menelan kos S$ 610 juta (RM 1.83 bilion) manakala fasa kedua yang bermula pada 2014 pula menelan belanja sebanyak S$ 36 juta (RM 108 juta).

Manakala kerja-kerja akhir menyaksikan tembok setpanjang 7 kilometer dibina bagi memisahkan Pulau Semakau dengan satu lagi pulau, Pulau Sakeng. Pembinaan tembok ini menyediakan ruang seluas 3.4 kilometer persegi yang mampu menampung sampah sarap sebanyak 60 juta kubik meter.

Sampah-sampah daripada Singapura mula dihantar ke Pulau Semakau bermula pada tahun 1999. Dengan anggaran sampah seharian sebanyak 8,600 tan, Pulau Semakau dijangka mampu bertahan sehingga tahun 2045.

Lawatan Ke Tapak Perlupusan Sampah

Aneh bunyinya, tetapi kerana keindahan dan kecantikan tempat pelupusan ini, pihak pengurusannya, Agensi Alam Sekitar Singapura (NEA) memberitahu bahawa orang awam yang berminat untuk berkunjung perlu membuat tempahan sekurang-kurangnya tiga minggu lebih awal.

Gambar : marketinsights.sg

Bagaimanapun lawatan terhad pada hujung minggu sahaja. Orang awam boleh mengambil feri dengan bayaran tambang sebanyak S$ 400 (RM 1204) untuk perjalanan dua hala ataupun mengambil pakej lawatan yang disediakan oleh agensi perlancongan.

Selain menikmati keindahan Pulau Semakau, pelancong-pelancong juga didedahkan dengan cara sampah-sampah yang dihantar ke Pulau Semakau diurus. Selain itu, mereka turut dibawa ke kawasan tapak pelupusan dan melihat sendiri sampah-sampah cantik yang ditempatkan di sana.

Jika bertuah dan air surut, lawatan tambahan tiga jam akan dibawa mengelilingi pulau berkenaan dan berpeluang untuk bertemu dengan pelbagai flora dan fauna yang indah-indah. Malah, pulau sampah berkenaan juga merupakan rumah kepada sekitar 66 jenis spesis burung. Menarik.

”Pulau Semakau sangat bersih. Terurus dengan teknologi canggih yang ada di sini. Tidak ada langsung sisa sampah yang dapat dilihat, semuanya diurus dengan baik,” kata seorang pelawat daripada Australia, Russell Darnley.

Bagaimana Sampah Dipindahkan?

Bagi memastikan sampah yang dilupuskan di Pulau Semakau dapat ‘hidup’ sekali dengan ekosistem sedia asal, proses pelupusan sampah sebenarnya bermula daripada tanah besar lagi. Sampah-sampah yang terlebih dahulu dibakar dengan kaedah mesra alam di tanah besar Singapura sebelum diangkut menggunakan kapal ke Pulau Semakau.

Gambar : Myonlinetour

Kapal yang berkapasiti 3,500 meter padu ini mengangkut sampah-sampah yang tediri daripada 65 peratus abu sampah dah 35 peratus tanah gambut. 6 buah kapal semuanya. Sebaik sahaja tiba di Pulau Semakau, sebuah eskavator yang dibina khas untuk memunggah sampah-sampah daripada kapal sebelum memuatkannya semula ke atas lori-lori yang sedia menanti.

Lori-lori ini sebaik penuh akan bergerak melalui seksyen-seksyen yang dibina khas dan akan memunggah abu-abu dan tanah gambut masuk ke dalam sel tapak pelupusan khas yang sudah ditetapkan.

Abu-abu dan tanah gambut berkenaan kemudian diratakan menggunakan jentera berat yang lain sebelum dilapisi dengan tanah. Akhirnya, di atas tanah-tanah ini, pohon hijau tumbuh merimbun sekaligus memperlihatkan satu kawasan pelupusan sampah yang sangat indah.

Tiada Lagi Masalah Gas Metana

Dengan wujudnya tapak perlupusan sampah seperti Pulau Semakau, dunia boleh mengucapkan selamat tinggal kepada gas metana. Ini disebabkan sampah-sampah ini terlebih dahulu dibakar dan menjadi abu sebelum dipindahkan ke Pulau Semakau.

Namun, sama seperti Malaysia, Singapura juga menerima taburan hujan yang tinggi sekaligus abu-abu ini terancam dengan pengaliran air dan boleh menjejaskan kualiti air di sekelilingnya.

Begitupun, ancaman ini sudahpun disedari oleh jurutera-jurutera Singapura yang menghasilkan satu lapisan perlindungan membran yang tidak membenarkan sebarang sisa lepas keluar daripada pulau itu.

Malah, NEA turut menjelaskan perairan di Pulau Semakau sangat bersih sehingga menjadi habitat kepada beberapa spesis ikan termasuklah ladang ikan baramundi di kawasan terdekat. Singapura juga dalam perancangan untuk menukar kawasan seluas 90 hektar di pulau berkenaan sebagai tapak penuaian tenaga hijau seperti turbin angin dan sistem panel solar yang akan disalurkan ke tanah besar.

Indah bukan jika mempunyai tapak pelupusan sampah sebersih Pulau Semakau. Cuba semak cara anda lupuskan sampah, bagaimana?

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=jF1UCbS3zVY]

 

Sumber : Gaia Discovery

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.