Siakap Keli
Gambar : Tinjauan di Ibu Pejabat JBPM, Putrajaya, hari ini - Foto Bernama

Bendera Dikibar Separuh Tiang Hingga Ahad Di Semua Premis Bomba

Bendera bomba, Jalur Gemilang dan negeri dikibarkan separuh tiang bermula hari ini hingga Ahad (7 Okt) di semua premis Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara.

JBPM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pengibaran bendera separuh tiang itu dilakukan  sebagai tanda hormat dan penghargaan bagi enam anggota bomba yang terkorban dalam operasi mencari dan menyelamat di kolam lombong Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor pada Rabu.

“JBPM merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menyampaikan ucapan takziah dan menghargai pengorbanan wira-wira merah ini.

“Keprihatinan dan sokongan yang ditunjukkan amat dihargai dan dikagumi. Ia memperkuatkan lagi semangat anggota bomba untuk terus memberi khIdmat dan sumbang bakti dengan sepenuh jiwa kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.

JBPM akan melakukan yang terbaik dalam memastikan segala aspek kebajikan waris terbela seperti yang ditetapkan dalam perkhidmatan awam dan jabatan.

Dalam kejadian pukul 9.15 malam itu, enam anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25; Yahya Ali, 24; Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25,  lemas ketika operasi  mengesan  seorang remaja yang hilang di lombong tinggal.

Adnan dan Muhammad Hifdzul bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam sementara  yang lain di BBP Pelabuhan Klang. Jenazah kesemua mangsa dikebumikan pada Khamis di kampung halaman  masing-masing.

Mayat Fahmy Mohammad Azzam, 17, pula ditemui semalam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Putra Perdana pada malam yang sama.

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.