Siakap Keli
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (tengah) mengunjungi ahli keluarga mangsa lemas lombong Putra Perdana Allahyarham Muhd Ilham Fahmi, di kediaman keluarga Allahyarham di Taman Putra Perdana, hari ini - Foto Bernama

KPM Rancang Kemahiran Renang Diajar Di Sekolah – Maszlee

Kementerian Pendidikan sedang dalam peringkat perbincangan mengenai keperluan untuk mengajar pelajaran renang di sekolah, kata Menterinya Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata cadangan tersebut disuarakan sendiri oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan peningkatan kejadian lemas membabitkan pelajar sekolah sejak kebelakangan ini.

Katanya perbincangan tersebut turut mengambil kira masalah kekurangan kemudahan kolam renang terutamanya di sekolah-sekolah luar bandar.

“Kemahiran berenang ini sangat penting dalam kalangan anak-anak. Di Finland dan Australia serta beberapa negara lain, kemahiran berenang wajib diajar di sekolah.

“Di sekolah swasta juga banyak yang telah mewajibkan kelas renang dan di sekolah kerajaan, kita akan cuba adakan secara berperingkat-peringkat,” katanya kepada Bernama selepas melawat keluarga mangsa lemas Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam, di sini, Jumaat.

Dalam pada itu, Maszlee yang meluangkan masa selama setengah jam menziarah keluarga mangsa, turut menyampaikan ucapan takziah dan berharap mereka dapat bersabar dalam menghadapi ujian tersebut.

Beliau turut menyeru orang ramai terutamanya pelajar sekolah supaya tidak bermain atau mandi di kawasan larangan seperti tasik dan lombong bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Muhammad Ilham Fahmy, 17, lemas ketika memancing di lombong Taman Putra Perdana, di sini pada Rabu lepas.

Mayat remaja itu ditemui pasukan penyelamat kira-kira 800 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh pada 5.45 petang semalam dan selamat dikebumikan pada sebelah malam.

Dalam tragedi tersebut, seramai enam anggota Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) turut maut ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat Muhammad Ilham Fahmy.

Mereka ialah empat anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25 dan Yahya Ali, 24, serta dua anggota daripada BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Kejadian berlaku pada 9.15 malam ketika mereka baru sahaja memulakan operasi mengesan remaja berkenaan.

Sumber : Bernama

Nuraiyshah A.L

Being a sleepy girl with a busy life is hard.

Tambah komen

Sumbang Artikel Anda

Anda suka menulis dan berkongsi? Tetapi tiada medium yang sesuai? Anda dialu-alukan untuk menulis di Siakap Keli sekiranya penulisan anda itu suatu perkara yang manfaat.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di