Siakap Keli
FB : Damia Hanie

Van Sekolah Terbalik: Tiga Pelajar Parah, 10 Cedera

KUALA NERUS, 7 Okt (Bernama) – Tiga pelajar parah manakala 10 lagi cedera ringan selepas van sekolah yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik dalam satu kemalangan di Jalan Bukit Tunggal di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu Supt Abd Razak Hasan berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6.15 pagi tadi apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah Jalan Padang Air menghala ke pusat bandar mengelak sebuah kenderaan, lalu melanggar belakang van berkenaan.

“Ia mengakibatkan van itu terbabas dan terbalik manakala kenderaan pacuan empat roda itu terbabas sehingga melanggar pokok atas pembahagi jalan.

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan susulan. Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mangsa merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu, dan yang turut cedera ialah pemandu van terbabit manakala pemandu kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Penguasa Kanan Bomba ll Mohamed Zulkhairul Mohamed Razilah berkata 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu bergegas ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 6.21 pagi.

“Pihak bomba mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan semua mangsa dari dalam kenderaan sebelum dibawa ke HSNZ untuk rawatan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pelajar, De Pierre Eng Cjunn,15, berkata ketika kejadian hari masih gelap dan ketika itu hujan renyai.

“Van kami bergegar selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda dari belakang. Keadaan jadi kelam-kabut dan pelajar perempuan menjerit ketakutan. Saya dan beberapa orang rakan berjaya keluar melalui cermin tingkap yang pecah,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.