Siakap Keli
Gambar Hiasan

Enggan Serah ”Password” Telefon Kepada Pegawai Kastam New Zealand, Pelancong Boleh Didenda RM13,000

NEW ZEALAND: Negara New Zealand kini mengeluarkan undang-undang terbaharu yang berkuat kuasa mulai 1 Oktober berkaitan dengan denda sebanyak 5,000 dollar New Zealand (RM13,401) yang akan dikenakan kepada pelancong yang enggan memberi kata laluan untuk membuka peranti elektronik mereka kepada pegawai kastam di lapangan terbang.

Undang-undang yang telah dikemas kini selama 22 tahun itu terletak di bawak akta baharu kastam dan menerima kritikan dari kumpulan kebebasan sivil berikutan tindakan itu dianggap melanggar hak privasi orang awam.

Jelas Perkhidmatan Kastam New Zealand dalam satu kenyataan lapor media tempatan, akta itu turut memberi hak kepada pegawai kastam untuk menyalin data yang dijumpai daripada peranti tersebut.

Tindakan itu diselar hebat oleh Majlis New Zealand bagi Kebebasan Sivil yang berkata undang-undang itu memberi pegawai kastam kuasa untuk memaksa para pelancong membuka kata kunci telefon pintar mereka tanpa alasan, dan tanpa pilihan undang-undang buat pelancong untuk mencabar perintah tersebut.

“Telefon pintar moden mengandungi sejumlah besar maklumat peribadi yang sangat sensitif termasuk e-mel, surat, rekod perubatan, foto peribadi, dan gambar yang sangat peribadi.

“Membenarkan kastam untuk memeriksa dan mendapatkan semua maklumat ini adalah pencerobohan yang serius terhadap privasi peribadi seseorang termasuk pihak ketiga yang berkomunikasi dengan mereka,” ujar jurucakap Majlis New Zealand bagi Kebebasan Sivil, Thomas Beagle yang dipetik dari laporan media tempatan.

Berita ini mendapat liputan meluas dan menerima pelbagai reaksi dari pengguna laman sosial seluruh dunia yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan akta itu.

Sumber: News.com

Aisha Ratnila

"Don't be distracted by criticism. Remember the only taste of success some people get is to take a bite out of you."

- Zig Ziglar