Siakap Keli

KP Kesihatan Keluarkan Senarai 14 Produk Kosmetik Mengandungi Racun Berjadual

Melalui satu kenyataan akhbar, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang awam agar mengelak daripada menggunakan beberapa produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual (hydroquinone, tretinoin, diphenhydramine dan merkuri).

”Produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan diphenhydramine adalah merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan,” kata kenyataan itu.

NPRA melalui kenyataan yang sama turut menjelaskan bahaya-bahaya kepada kesihatan sekiranya menggunakan produk kosmetik yang mengandungi racun berjadual.

”Penggunaan hydroquinone tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif. Kesan dari penggunaan hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit,” kata kenyataan itu lagi.

Produk kosmetik yang mengandungi hydroquinone biasanya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit, merawat masalah-masalah jeragat dan kulit tidak sekata.

Manakala produk kosmetik yang mengandungi tertinoin pula dipasarkan sebagai produk kosmetik yang berupaya untuk merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan.

”Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

”(Manakala) Penggunaan diphenhydramine tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh mengakibatkan bahagian kulit yang disapu menjadi lebih sensitif kepada cahaya matahari dan boleh menyebabkan kesan alahan teruk,”  kata kenyataan tersebut yang menyebut bahawa produk kosmetik yang mengandugi bahan ini biasanya didakwa berupaya memberi kelegaan sementara terhadap kegatalan dan kesakitan akibat gigitan serangga, selaran matahari yang ringan dan kerengsaan kulit.

Bagi produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan merkuri pula kebiasaannya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit dan rawatan anti penuaan seperti masalah jeragat, kulit tidak sekata dan kedutan dan boleh memudaratkan kesihatan.

”Merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

”Selain itu, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutamanya kanak-kanak apabila produk kosmetik yang mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu.

”Bayi dan kanak-kanak kecil boleh terdedah kepada merkuri apabila mereka menyentuh produk kosmetik yang mengandungi merkuri atau orang yang menggunakan produk kosmetik tersebut dan kemudiannya memasukkan jari-jari mereka ke dalam mulut. Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” kata kenyataan berkenaan.

Oleh itu, orang awam dinasihatkan segera menghentikan penggunaan produk-produk yang dinyatakan dan mendapatkan nasihat serta rawatan pakar sekiranya menunjukkan tanda-tanda seperti yang disebut diatas.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghantar email ke [email protected] dan semakkan status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA http://npra.moh.gov.my/

”Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM berikutan pengesanan bahan racun berjadual di dalam produk berkenaan.”

Kenyataan akhbar ini dibuat oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Bin Abdullah.

Sumber : KP Kesihatan Malaysia

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.