Siakap Keli
Gambar Hiasan

Tular Kes Keracunan Laksa, Kementerian Kesihatan Malaysia Sahkan Dua Orang Meninggal Dunia

Melalui laporan sebuah akhbar berbahasa Melayu atas talian semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menyiasat dakwaan kematian akibat keracunan laksa di Kedah dan Perak mengesahkan terdapat 19 kes keracunan laksa dengan berlaku dua kematian.

Lapor akhbar itu lagi, mereka yang terlibat membeli laksa yang dijual di sebuah gerai di Kupang, Baling.

Menurut kenyataan daripada Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail, dua kematian yang berlaku adalah daripada 9 kes keracunan laksa yang dilaporkan berlaku di Perak, manakala baki adalah kes yang berlaku di Kedah.

Akhbar berkenaan juga turut melaporkan bahawa, susulan kejadian tersebut yang tular di media sosial, satu notifikasi bertarikh 6 Oktober telah dikeluarkan oleh Hospital Gerik mengenai dua kes keracunan membabitkan satu kematian.

Siasatan lanjut yang dijalankan kemudian mendapati bahawa terdapat tujuh lagi kes keracunan membabitkan sebuah keluarga yang tinggal di dalam satu rumah. Kesemua mangsa yang menunjukkan gejala-gejala demam, cirit birit, dan muntah dilaporkan ada memakan laksa pada 4 Oktober, jam 9.30 malam  yang dibeli oleh bapa si mati.

Kemudian pada 7 Oktober pula, dilaporkan terdapat dua lagi kes keracunan yang dimasukkan ke Hospital Gerik setelah memakan laksa yang dibeli daripada gerai yang sama dan tarikh serupa. Akhbar berkenaan turut menyebut bahawa salah seorangnya telah dirujuk ke Hospital Raja Bainun, Ipoh. Namun mangsa disahkan meninggal dunia jam 2.30 petang, hari yang sama.

Dr. Norhizan turut dilaporkan menyebut bahawa 10 lagi kes keracunan dilaporkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Baling yang menerima rawatan di Hospital Baling.

Ketika ini, siasatan masih dilakukan di peringkat Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedan dan JKN Perak untuk mengenal pasti kes-kes keracunan makanan (KRM) dan terdedah kepada makanan yang sama.

Lapor akhbar itu lagi, JKN Kedah sudah menjalankan pemeriksaan di premis yang menjual laksa berkenaan dan mengarahkannya di tutup sementara bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Ujarnya lagi sampel makanan dan persekitaran sudah diambil untuk ujian makmal dan sedang menunggu keputusan. Justeru, seperti yang dilaporkan akhbar berkenaan, Dr. Norhizan meminta orang ramai untuk tidak khuatir kerana kes berkenaan masih terkawal dan menyarankan orang ramai mengamalkan keselamatan makanan dengan memilih gerai makanan yang bersih sebelum membeli.

Orang ramai yang menunjukkan gejala KRM dinasihatkan untuk segera ke hospital untuk menerima rawatan.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.