Siakap Keli

(Video)’Cacat’ Kebanggaan Petarung UFC, Kalau Jumpa Orang Dengan Telinga Macam Ini Lebih Baik Jangan Cari Pasal

Dua tiga hari lepas, tiba-tiba semua orang bercakap mengenai kekecohan yang berlaku dalam pertarungan epik UFC 229 yang mempertemukan jaguh Rusia, Khabib dan petarung Ireland, McGregor. Aksi Khabib yang memukau di dalam gelanggang tertutup dengan insiden dramatik di luar gelanggang. Tak cukup McGregor diajar, Khabib turut mengejar jurulatih lawan itu pula.

Semuanya gara-gara provokasi melampau pasukan McGregor termasuklah penghinaan terhadap agama Islam, keluarga terutamanya bapanya dan wilayah asal usul khabib di Dagestan, Rusia.

Tetapi yang kami mahu kongsikan dengan anda kali ini bukan mengenai kekecohan atau drama yang berlaku baik dalam mahupun luar gelanggang diantara Khabib dan McGregor, tetapi mengenai beberapa keping gambar yang viral membabitkan telinga dua petarung ini.

Kalau anda perhatikan dengan jelas, bentuk telinga kedua-duanya amat berbeza dengan telinga-telinga orang normal, kami dan anda. Malah, kalau anda selidik, anda akan dapati bahawa telinga kebanyakkan petarung-petarung dalam sukan lasak seperti MMA ini jelas berbeza dengan orang-orang biasa.

Kenapa? Sebenarnya telinga semua petarung-petarung ini asalnya sama sahaja dengan telinga-telinga orang lain, namun kerana karier mereka dalam sukan lasak, bahagian telinga berkenaan mendapat kecederaan yang sekiranya tidak dirawat boleh menjadi satu kecacatan kekal. Jadi kenapa tak dirawat dan biarkan telinga bengkak? Kerana itu adalah trademark untuk petarung-petarung ini, satu kebanggaan kalau nak guna istilah yang lebih tepat lagi.

Istilah perubatan : cauliflower ear

Cauliflower ear juga selalu disebut sebagai perichondrial hematoma atau telinga petarung dalam istilah perubatan merujuk kepada satu kecacatan pada telinga yang terjadi akibat kecederaan pukulan kuat.

Ia terjadi apabila bahagian telinga anda menerima kecederaan seperti ditumbuk atau dipukul hingga menyebabkan darah bertakung pada bahagian pinna. Untuk pengetahuan anda, pinna adalah bahagian luar telinga. Kawasan telinga yang bengkak dan menjadi kawasan takungan darah ini perlu dirawat dengan segera supaya tidak menjadi cacat kekal.

Simptom-simptom

Jika anda baru-baru ini terkena pukulan yang kuat pada bahagian telinga dan merasakan telinga anda mendapat kecederaan, anda mungkin perlu merujuk perkara tersebut pada doktor. Lebih-lebih lagi jika anda perasan bahawa telinga anda mempunyai bengkak atau lebam. Satu lagi, jika diperhatikan dengan menggunakan cermin, anda juga akan dapati bahawa bentuk telinga anda mungkin juga boleh berubah.

Disebabkan darah-darah tadi mula berkumpul pada bahagian telinga yang cedera, darah-darah segar ini tidak lagi dihantar ke bahagian rawan telinga. Hasilnya, jika tidak dirawat, anda mungkin boleh menghadapi salah satu masalah di bawah :

  1. Telinga terasa seolah-olah berdering.
  2. Kehilangan deria pendengaran
  3. Sakit kepala
  4. Mata kabur

Malah, penyelidikan yang dibuat oleh Asian Journal of Sports Medicine mendapati bahawa petarung-petarung sukan lasak yang mempunyai cauliflower ear berhadapan dengan risiko yang lebih besar untuk kehilangan deria pendengaran berbanding petarung-petarung yang memilih untuk merawat kecederaan tersebut.

Apakah yang menyebabkan cauliflower ear berlaku

Cauliflower ear adalah kesan kecederaan yang berlaku secara terus pada bahagian luar telinga. Untuk pengetahuan anda, bahagian luar telinga terbina dengan rawan, bukannya tulang. Jika bahagian luar telinga anda cedera, salur darah yang mengangkut darah pada bahagian rawan telinga boleh koyak, ini menyebabkan berlaku takungan darah pada bahagian diantara rawan telinga dan perichondrium.

Perichondrium adalah tisu penyambung yang mengelilingi bahagian rawan telinga. Tisu ini sangat penting untuk proses-proses mengangkut darah dan nutrisi ke rawan telinga.

Sebaik sahaja bekalan darah segar ke rawan telinga terputus, rawan telinga anda akan gagal memperolehi nutrisi yang diperlukan. Ini menyebabkan berlakunya jangkitan dan kematian tisu. Apabila keadaan tersebut berlaku, tisu fibros baru akan terbentuk dan seterusnya menghasilkan cauliflower ear.

Rawatan untuk masalah cauliflower ear

Rawatan awal

Letakkan ais dengan segera pada bahagian bengkak berkenaan. Anda dinasihatkan sekurang-kurangnya meletakkan ais pada bahagian berkenaan selama 15 minit. Ini dapat membantu mengurangkan kawasan bengkak dan mengelakkan berlakunya cauliflower ear. Paling utama, segera dapatkan rawatan pakar perubatan.

Kering dan mampat

Doktor dapat membantu anda merawat masalah cauliflower ear dengan cara mengeringkan darah yang bertakung di antara rawan dan Perichondrium. Caranya adalah dengan menebuk halus atau sedut dengan jarum suntikan pada bahagian yang bengkak dan mengeluarkan darah yang terkumpul.

Sebaik sahaja proses berkenaan berakhir, doktor akan memberikan anda antibiotik supaya kawasan berkenaan tidak terkena jangkitan kuman. Doktor juga mungkin meletakkan pemampat pada bahagian telinga anda bagi mendapatkan bentuk asal. Selain itu, anda juga dinasihatkan untuk mengelak daripada menyertai aktiviti-aktiviti lasak yang boleh mendatangkan kecederaan pada bahagian telinga anda.

Cauliflower ear boleh dirawat dan dikembalikan kepada bentuk asal. Jadi amat mustahak untuk anda mengikuti nasihat daripada doktor.

Pembedahan

Cauliflower ear adalah kecacatan kekal, namun dalam keadaan tertentu, masalah berkenaan boleh dirawat melalui pembedahan yang dikenali sebagai otoplasty.

Pesanan ikhlas

Jika anda berhadan dengan seseorang yang memiliki Cauliflower ear pada bahagian telinganya, berdiam diri atau tidak cari pasal denganya adalah perkara yang bijak. Mana tahu, dia seorang petarung di atas gelanggang, sama macam Khabib.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=c0W2bT3X4M8]

 

Sumber : Healthline

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.