Siakap Keli

Hukuman Mati Mandatori Akan Dimansuhkan

Menurut laporan semalam, kerajaan dikatakan akan mengambil keputusan untuk memansuhkan pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi semua jenayah di negara ini.

Sehubungan itu, semua pelaksanaan hukuman mati akan ditangguhkan sehingga pemansuhan yang ada dikuatkuasakan, berdasarkan kenyataan yang dipetik daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Katanya lagi, keputusan untuk memansuhkan hukuman mati itu sudahpun dibuat di peringkat Kabinet, namun kerajaan ketika ini perlu meneliti beberapa perkara lagi.

Selain itu, laporan turut menyatakan bahawa Liew akan memaklumkan perkara berkenaan kepada Lembaga Pengampunan bagi melihat semula permohonan banduan yang menunggu hukuman mati, sama ada mahu diringankan hukuman atau dilepaskan.

Namun katanya, keputusan untuk memansuhkan hukuman mati sedikit berbeza sekiranya banduan merupakan pesalah melibatkan dadah memandangkan mahkamah mempunyai budi bicara untuk menetapkan hukuman sama ada mati atau sebaliknya.

Menurut mereka semua kertas kerja kini sudah berada di fasa terakhir. Malah, Peguam Negara dilaporkan sudah memberi isyarat bahawa ia sudah siap untuk dibentangkan di Parlimen bermula 15 Oktober.

Bagi Liew, pemansuhan hukuman mati ini merupakan satu perkembangan penting buat negara dan berharap Rang Undang-Undang (RUU) pemansuhan dapat dibentangkan dengan segera.

Sehingga kini, sebanyak 106 buah negara sudahpun memansuhkan hukuman mati, manakala 32 buah negara lagi masih mengekalkan hukuman mati namun sudah tidak melaksanakannya sejak 10 tahun yang lalu.

Manakala 58 buah negara lagi mengekalkan hukuman mati dan aktif melaksanakannya. Terdapat 8 buah negara yang lain yang mengekalkan hukuman mati untuk kesalahan-kesalahan tertentu seperti jenayah perang.

Pakistan, Iran dan Arab Saudi menjadi negara dengan hukuman mati paling banyak dilaksanakan di dunia iaitu sebanyak 89 peratus.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.