Siakap Keli
RIO DE JANEIRO, BRAZIL - SEPTEMBER 10: Mohamad Ridzuan Puzi of Malaysia reacts after the victory in the men's 100 meter T36 Final on day 3 of the Rio 2016 Paralympic Games on September 10, 2016 in Rio de Janeiro, Brazil. (Photo by Alexandre Loureiro/Getty Images)

Dik Wan ‘Mengganas’ Lagi, Raih Lebih Banyak Pingat Dan Lebur Rekod Lagi

Ridzuan Puzi atau lebih mesra dikenali sebagai Dik Wan yang baru sahaja menggegar arena sukan negara apabila memecahkan rekod dunia di Sukan ParaAsia Jakarta, terus mengganas apabila meraih pingat emas ketiganya dan memecahkan rekod Asia.

Jika sebelum ini dia memadam rekod milik atlet para Rusia dalam acara 100 meter T36 (cerebral palsy) dengan catatan masa 11.87 saat, semalam dia memecahkan rekod Asia milik jaguh China dalam acara lompat jauh lelaki T36 dengan jarak 5.49 meter. Rekod lama yang dipegang  Yang Yifei dengan jarak 5.43 meter.

Dalam acara berkenaan, Dik Wan berjaya menewaskan atlet Uzbekistan, Izzat Turgunov yang meraih pingat perak dengan jarak 5.27 meter manakala pingat gangsa dengan lompatan sejauh 4.62 meter menjadi milik atlet Kazakhstan, Sergey Kharlamov.

Beberapa atlet para negara yang lain turut menyumbang pingat untuk kem negara dengan pelumba basikal negara, Nur Azlia Syafinaz berjaya menyumbang emas kedua dalam acara kejar mengejar individu (B) 3,000 meter di Velodrom Antarabangsa Jakarta. Sebelum ini, Azlia menyumbang pingat dalam acara lumba lebuh raya.

Manakala bagi pelumba lelaki pula, Mohd Khairul Hazwan Wahab berjaya meraih pingat perak dalam acara kejar mengejar (B) 4,000 meter. Di kolam renang, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli berjaya memperbaharui rekod baru kejohanan apabila aksinya dalam acara saingan gaya bebas 50m lelaki S5 berjaya mencatat masa 34.09 saat. Rekod lama adalah 35.54 saat.

Sehingga kini, Malaysia berada di kedudukan kelapan dalam carta pungutan pingat setelah aksi cemerlang kontinjen negara berjaya meraih pingat 13 emas, 18 perak serta 18 gangsa, berbaki dua lagi pingat emas untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

Bagaimapun dengan beberapa acara masih lagi belum berlangsung, atlet-atlet para negara dijangka tiada masalah untuk memenuhi sasaran pingat yang diberikan kepada mereka.

Tahniah semua atlet-atlet para negara. Anda memang hebat.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.