Siakap Keli

”Siapa Pun Akan Lompat Keluar”, Presiden Rusia Sokong Tindakan Khabib ‘Mengamuk’ Serang Kem McGregor

Presiden Rusia, Vladimir Putin yang sempat meluangkan masa untuk bertemu dengan petarung sensasi UFC, Khabib Nurmagomedov dan ayahnya, Abdulmanap untuk memberi ucapan tahniah secara terbuka menyokong tindakan Khabib menyerang kem McGregor baru-baru ini.

Terdahulu, McGregor yang dilihat tidak berada di prestasi terbaik bergelut di dalam gelanggang sebelum tewas dengan submission kepada Khabib dalam kategori lightweight. Bagaimanapun tindakan Khabib dan anggota pasukannya menyerang kem McGregor selepas tawat perlawanan tersebut lebih mendapat perhatian media berbanding cerita kemenangannya yang ke 27 itu.

Putin dalam pertemuan tersebut memberitahu media bahawa tindakan Khabib itu adalah wajar memandangkan pihak lawan melakukan provokasi melampau sehingga menghina agama, keluarga dan negara Khabib.

”Bukan hanya kamu (Khabib), kami semua ini akan lompat keluar daripada gelanggang seperti itu jika kami dihina sedemikian,” kata Putin ketika berbual dengan Khabib dan ayahnya.

Khabib sebelum ini dalam satu sidang media selepas perlawanan turut memaklumkan bahawa Putin ada menghubunginya untuk mengucapkan tahniah di atas kemenangannya ke atas bintang utama UFC itu.

Dalam pertemuan peribadi dengan Putin pada Rabu, Khabib memohon maaf kepada Putin kerana hilang kawalan, namun Khabib menjelaskan bahawa dia mendengar McGregor dan ahli pasukannya menghina ayah dan tanah airnya.

Dalam provokasi sebelum ini, McGregor menghina Khabib yang beragama Islam Sunni sebagai ‘terkebelakang’ kerana enggan menerima pelawaanya untuk meminum arak keluaran syarikatnya sendiri dalam sidang media sebelum pertarungan berlangsung.

McGregor juga melabel pengurus Khabib yang juga seorang Muslim sebagai pengganas, tikus dan penipu. Pada April, McGregor dan bersama-sama anggota pasukannya turut menyerang bas yang membawa Khabib dan petarung-petarung UFC lain sehingga mendatangkan kecederaan.

Khabib kemudian dikatakan berikrar untuk mengajar McGregor di dalam gelanggang cukup-cukup dan hanya berdiam diri dengan segala provokasi lawan sehinggalah hilang sabar setelah tamat perlawanan.

Putin bagaimanapun menjelaskan bahawa dia sangat memahami apa yang dialami oleh Khabib dan meminta ayahnya agar tidak mengenakan hukuman yang berat kepada Khabib.

Abdulmanap sebelum ini dalam satu sidang media memberi amaran kepada Khabib bahawa dia bakal dikenakan tindakan yang tegas kerana pernah memberitahau bahawa Khabib boleh melakukan apa sahaja di dalam gelanggang, tetapi di luar gelanggang seharusnya menjadi satu kawasan yang aman kerana terdapat orang awam yang tidak berdaya seperti kanak-kanak dan wanita.

Sumber : Dailymail

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.