Siakap Keli

(Video) 11 Pelajar Pondok Antara Yang Terkorban Dalam Bencana Tanah Runtuh Terkini Landa Indonesia

Indonesia terus berduka apabila bencana banjir kilat dan tanah runtuh yang melanda wilayah Sumatera Utara dan Barat dilaporkan telah meragut sekurang-kurangnya 22 nyawa dan 15 cedera termasuk kanak-kanak, menurut Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan Indonesia.

Bencana yang sama turut dilapor memusnahkan 48 buah rumah ketika kerja-kerja mencari dan menyelamat giat dijalankan oleh pihak berkuasa.

Hujan lebat sejak Jumaat hingga Sabtu yang membawa aliran kuat daripada atas bukit dilaporkan menjadi punca yang meragut nyawa di daerah Pasaman dan Tanah Datar di Sumatera Barat manakala bencana yang sama turut menjejaskan kawasan di Mandailing Natal dan pekan Sibolga, kata jurucakap agensi berkenaan.

”11 orang kanak-kanak yang merupakan pelajar sebuah sekolah agama dilaporkan antara yang terbunuh selepas ditimpa runtuhan bangunan di kampung Muara Saladi semasa banjir kilat pada Jumaat,” kata Sutopo Purwo Nugroho.

Jumlah mangsa yang maut dipercayai tertimbus di dalam tanah mungkin bertambah memandangkan pihak berkuasa masih berusaha untuk menentukan jumlah mangsa yang terlibat dalam bencana ini.

Pasukan penyelamat yang terdiri daripada askar, polis dan pasukan kecemasan ketika ini sedang bertungkus lumus bekerja di kawasan bencana untuk mencari mangsa yang masih hidup dan mengesan kedudukan mangsa yang hilang. Selain itu, bantuan yang dihantar turut tergendala memandangkan jalan yang sedia teruk yang menghubungkan wilayah terpencil itu turut terjejas.

Bnecana ini hadir ketika Indonesia masih bergelut untuk pulih daripada bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda wilayah Palu di Sulawesi. Bencana berkenaan meragut lebih 2000 nyawa dan ribuan lagi masih hilang.

Indonesia sering dilanda bencana banjir kilat dan tanah runtuh ketika musim hujan berlaku.

Sumber : Xinhua News Agency

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.