Siakap Keli

“Keputusan Drastik Itu Sebagai Bentuk Penganiayaan Kepada Kami,” JASA Akan Dibubar, Kakitangan Tulis Warkah Terbuka Buat Tun M

Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) bakal dibubarkan 15 Oktober ini selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembubaran 5 badan kerajaan yang berbeza termasuk JASA ketika mesyuarat kabinet pertama sejurus kemenangan PH pada pilihan raya umum ke-14.

Ekoran pembubaran jabatan itu, seramai 800 orang kakitangan kontrak akan dibuang, manakala 300 penjawat awam akan diletakkan dibawah Jabatan Perkhidmatan Awam untuk ditukarkan ke jabatan kerajaan lain.

Susulan perkara ini, coretan surat terbuka untuk Tun Mahathir tersebar di media sosial dipercayai ditulis wakil kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas yang akan diberhentikan selepas jabatan itu dibubarkan esok.

Warkah Terbuka Warga JASA Buat Tun

Assalamualaikum Tun,

Beberapa hari sahaja lagi riwayat kami akan berakhir sebagai penjawat awam atas arahan Tun. Semakin dekat tarikh 15 Oktober hati semakin gusar gulana kerana bakal kehilangan satu-satunya punca rezeki untuk menampung keluarga.

Dengan faktor umur 40 tahun ke atas, siapalah yang hendak menggajikan kami sebagai pekerja mereka. Tambahan pula, kami perlu bersaing dengan adik-adik yang jauh lebih muda dari kami. Sehingga kini, kami masih lagi tertanya tanya apa salah dan dosa kami sehinggakan Tun tergamak untuk memberi arahan menamatkan kontrak kami.

Keputusan kerajaan untuk membubarkan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) memberi kesan kepada kira-kira 1,200 kakitangannya. Keputusan drastik itu sebagai satu bentuk penganiayaan kepada kami. Kami bukan lantikan politik, kami perlu melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) serta melalui proses temuduga yang ketat untuk kelayakan dan pengalaman bekerja ,Bukan semua yang ditamatkan kontrak ini adalah lantikan politik.

Dimanakah keadilan dan janji Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo bahawa kami akan diserap masuk ke agensi lain dibawah Kemeterian Komunikasi dan Multimedia Malaysia?Kami merasakan diri kami adalah mangsa mainan politik. Apabila kami sudah diterima bekerja, kami hanya menurut perintah. Kami tidak boleh mengatakan tidak kepada arahan yang diberi.Jika tidak mengikut arahan akan diambil tindakan tatatertib dan boleh dibuang kerja.

Kami Kakitangan JASA ini berkhidmat untuk ‘government of the day’ (kerajaan hari ini). Tahukah Tun bahawa kami merupakan benteng di hadapan yang mempertahankan kerajaan yangada? Kami merupakan pejuang-pejuang yang berada di belakang kerajaan untuk menyampaikan segala dasar-dasar negara kepada rakyat.

Jangan Tun lupa bahawa Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) ditubuhkan semasa pemerintahan Tun sewaktu Tun menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat dulu.  Apakah tindakan ini adalah untuk menyelamatkan kewangan negara? Kalau ya, kenapa pula kami menjadi mangsa? Kami terpaksa berdepan dengan persepsi negatif orang ramai yang mengatakan kami lantikan politik dan patut diberhentikan.

Tun, di antara kami ini ada yang merupakan ibu tunggal, suami dan bapa yang menjadi satu-satunya punca rezeki keluarga. Terdapat juga yang menghidap menyakit kronik dan memerlukan rawatan susulan setiap bulan. Dimanakah belas ihsan Tun kepada kami ?

Ketika Tun bergembira bersama dengan keluarga terfikir kah oleh Tun nasib kami pekerja-pekerja kontrak yang telah diberhentikan ? Kami juga mempunyai impian yang sama seperti Tun ingin melihat anak-anak berjaya namun semuanya hancur berderai.

Kami tetap menaruh harapan semoga Tun berlembut hati dan memberi sinar harapan kembali buat kami dan keluarga.  Dari Kami Insan-Insan Yang Terainaya.

#JASAdalamkenangan

Nur Farra