Siakap Keli
Gambar : Bernama

Mansuh Hukuman Mati Adalah Untuk Semua Kes Jenayah – Menteri

Kerajaan tidak boleh memilih atau mengecualikan hukuman mati berdasarkan kes atau kesalahan tertentu, jadi pemansuhan hukuman mati di negara ini akan membabitkan semua kes jenayah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Liew Vui Keong.

Menerusi satu portal media tempatan, beliau berkata kerajaan amat memahami perasaan mangsa yang sangat memilukan, tetapi mereka tidak boleh menghapuskan hukuman mati bagi separuh kes sahaja.

Berdasarkan satu laporan semalam, Vui Keong berkata, jika pemansuhan hukuman mati diluluskan Parlimen, hukuman penjara minimum 30 tahun akan dilaksanakan bagi menggantikan hukuman tersebut.

Setakat ini sahaja menurut beliau terdapat 18 kesalahan jenayah yang memperuntukkan hukuman mati, termasuk mengedar dadah, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, keganasan, membunuh, membunuh mangsa ketika penculikan, memiliki dan menggunakan senjata api, merogol sehingga menyebabkan kematian dan merogol kanak-kanak.

Rang undang-undang (RUU) bagi memansuhkan hukuman mati dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Disember ini selepas Bajet 2019 dibahas dan diluluskan.

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat bantahan ramai termasuk pembangkang dan dalam kalangan keluarga mangsa pembunuhan yang sama sekali tidak bersetuju.

Sementara itu, difahamkan terdapat seramai 1,267 banduan berdepan hukuman mati di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 sehingga kini, tetapi hukuman itu tidak dilaksanakan sejak 2014.

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.