Siakap Keli
Gambar : Bernama

Isu Gaji Minimum RM1,050 Akan Dibawa Ke Kabinet – Menteri

Kementerian Sumber Manusia akan membawa isu kenaikan gaji minimum RM1,050 sebulan yang dibantah sesetengah pihak kerana didakwa terlalu rendah, untuk dibincangkan di mesyuarat kabinet.

Menterinya M. Kula Segaran berkata beliau berharap dapat membawa isu itu ke kabinet pada minggu hadapan.

“Beberapa faktor tertentu membawa kepada keputusan penetapan gaji minimum pada kadar RM1,050 oleh kabinet sebelum ini, namun kebanyakan golongan yang terkesan merasakan kenaikan gaji minimum itu terlalu rendah,” katanya kepada sumber hari ini.

Bantahan lebih 100 individu yang diketuai Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon serta beberapa badan bukan kerajaan lain bertujuan menuntut kerajaan menilai kembali pelaksanaan kenaikan gaji selaras dengan keperluan semasa.

Pejabat Perdana Menteri pada 5 Sept lepas mengumumkan pelarasan gaji minimum pada kadar   RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam yang akan dilaksanakan di seluruh negara bermula 1 Januari tahun hadapan.

Kumpulan yang menggelarkan mereka ‘Gabungan Bantah 1050’ itu berhimpun sejak pukul 10.20 pagi dan berarak ke pintu masuk Parlimen sambil melaungkan slogan agar kadar gaji dinaikkan.

Kula Segaran yang keluar menemui kumpulan berkenaan mengajak seramai 20 orang wakil masuk ke kawasan Parlimen bagi mengadakan perbincangan sebelum kumpulan itu bersurai kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.