Siakap Keli

Jambatan Bengkok Impian Tun Dr. Mahathir Dalam Perancangan Untuk Direalisasikan Semula?

Menurut laporan akhbar berbahasa Melayu tempatan, kerajaan Johor ketika ini dalam usaha untuk merealisasikan semula impian Tun Dr. Mahathir yang mahu membina jambatan bengkok menghubungkan Johor dengan Singapura.

Memetik kenyataan itu, Menteri Besar Johor,  Datuk Osman Sapian yang turut menyebut bahawa idea pembinaan tersebut sebelum ini telah ditolak oleh dua Perdana Menteri terdahulu.

Katanya lagi, idea pembinaan jambatan bengkok diberi pertimbangan semula sebaik sahaja Tun Dr. Mahathir kembali memegang tampuk pemerintahan negara.

Malah, beliau turut mendedahkan bahawa Tun Dr. Mahathir ada bertanya kepada kerajaan Johor sama ada mahukan sebuah jambatan bengkok ketika mesyuarat Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar bulan lepas.

Bagaimanapun kerajaan Johor menyerahkan perkara tersebut kepada Perdana Menteri memandangkan idea pembinaannya datang daripada beliau sebelum ini.

Mengikut perancangan asal, jambatan bengkok berkenaan yang mempunyai 6 lorong akan dibina untuk menghubungkan Johor dengan Singapura. Bagaimanapun apabila mendapat bantahan daripada Singapura, perancangan diubah dengan hanya membina separuh dan menyambungnya dengan bahagian Singapura. Jambatan berbentuk S ini dirancang untuk dibina bagi menggantikan Tambak Johor.

Idea pembinaannya sebelum ini telahpun diluluskan oleh pentadbiran Tun Dr. Mahathir ketika di tahun akhirnya sebagai Perdana Menteri keempat, namun dibatalkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi. Idea yang pembinaan yang sama juga kemudian tidak diteruskan oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Datuk Osman Sapian juga berkata kerajaan negeri ketika ini dalam perancangan untuk membuka jambatan ketiga menghubungkan negeri itu dengan Singapura dan memberitahu idea berkenaan mendapat sokongan daripada Tun Dr. Mahathir.

Bagaimanapun, lokasi pembinaannya tidak didedahkan bagi mengelak berlaku spekulasi harga hartanah.

 

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.