Siakap Keli

Bom Diletakkan Bawah Sofa Meletup, Lagi Calon Pilihanraya Afghanistan Terbunuh Sepanjang Musim Kempen

KANDAHAR: Seorang lagi calon pilihanraya terbunuh  selepas sebutir bom yang diletakkan di bawah sebuah sofa meletup semalam dan mengorbankan tiga nyawa yang lainnya.

Sepanjang musim kempen pilihanraya kali ini, 10 orang calon dilaporkan telah terbunuh.

Taliban pantas mengaku bertanggungjawab ke atas serangan berkenaan yang mengorbankan Abdul Jabar Qahraman, ketika keganasan meningkat menjelang pilihan raya parlimen 20 Oktober ini.

Ketika insiden, Qahraman difahamkan sedang bertemu penyokong di pejabat kempen beliau yang terletak di wilayah selatan Helmand, kubu kuat Taliban sebelum sebutir bom yang diletakkan di bawah sofa meletup dan meragut nyawa mereka.

Qahraman adalah calon kedua yang terbunuh di Lashkar Gah bulan ini, selepas Saleh Mohammad Asikzai menjadi antara lapan orang terbunuh dalam serangan bunuh diri minggu lalu.

Kejadian berlaku sehari selepas Taliban mengeluarkan amaran kepada calon untuk menarik diri dari pilihan raya parlimen.

Hampir sembilan juta orang pengundi yang didaftarkan, namun pemerhati menjangkakan jumlah yang akan keluar mengundi  lebih kecil berikutan ancaman serangan militan dan penipuan yang berleluasa.

Lebih daripada 50,000 anggota pasukan keselamatan Afghanistan diarahkan untuk melindungi pusat mengundi pada hari pilihan raya.

Sumber: ALJAZEERA

Aisha Ratnila

"Don't be distracted by criticism. Remember the only taste of success some people get is to take a bite out of you."

- Zig Ziglar