Siakap Keli

Kanak-Kanak 14 Bulan Meninggal Dunia Disyaki Difteria, Keluarga Pernah Tolak Suntikan Imunisasi

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 bulan dilaporkan telah meninggal dunia akibat jangkitan difteria dalam kejadian yang berlaku di Johor Baru.

Menurut kenyataan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, sebelum ini keluarga kanak-kanak malang tersebut pernah menolak untuk menyuntik bayi berkenaan dengan Imunisasi Difteria.

Dilaporkan, kanak-kanak berkenaan mengalami demam dan sakik tekak pada 4 Oktober sebelum dibawa oleh ibunya ke klinik swasta pada 11 Oktober untuk menerima rawatan awal.

Namun, keesokkan harinya, mangsa dikejarkan ke sebuah hospital dan dibawa ke unit kecemasan setelah mangsa mengalami masalah sesak nafas serta hilang selera makan. Kanak-kanak malang itu kemudian dipindahkan ke wad kanak-kanak sebelum dipindahkan ke unit kecemasan pediaetrik pada 13 Oktober memandangkan keadaannya yang semakin lemah dan memerlukan bantuan pernafasan.

Kanak-kanak berkenaa disahkan telah meninggal pada 15 Oktober akibat jangkitan difteria yang teruk dan kegagalan multiorgan.

“Berdasarkan ujian pengesanan ke atas sampel calitan tekak kanak-kanak tersebut mengesan kehadiran kehadiran bakteria Corynebacterium diphtheriae dan ketika ini kementerian sedang menunggu keputusan ujian makmal.”

“Antara langkah-langkah yang diambil oleh KKM bagi memastikan tidak berlaku penularan jangkitan penyakit berjangkit ini adalah melalui pencarian kes secara aktif di kawasan kediaman kes, aktiviti pemberian imunisasi, dan pendidikan kesihatan,” ujar KKM.

KKM pada masa yang sama turut menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap penyakit berjangkit seperti difteria, cacar, beguk dan lain-lain yang boleh dicegah melalui imunisasi.

Ibu bapa boleh mendapatkan suntikan imunisasi sama ada di klinik kesihatan kerajaan mahupun swasta. Kegagalan ibu bapa untuk berbuat demikian bukan sahaja mendedahkan anak mereka kepada risiko jangkitan kuman, malah turut meletakkan komuniti setempat dalam situasi bahaya.

Justeru, ibu bapa yang masih tidak memberikan suntikan imunisasi kepada anak masing-masing untuk tampil berbuat demikian. Bagi kanak-kanak yang tercicir suntikan imunisasi, ibu bapa boleh mendapatkan suntikan berkenaan di mana-mana klinik kesihatan terdekat.

Sehingga kini, tiada kes jangkitan terbaru dilaporkan.

Sumber: KKM

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.