Siakap Keli
Gambar : Bernama

10 Dikhuatiri Tertimbus Dalam Tanah Runtuh, Keluarga Dan Rakan Mula Berkumpul Di Kawasan Kejadian

Sepuluh orang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong dekat sini hari ini.

Kejadian pada pukul 1.56 tengah hari di kawasan tapak pembinaan jalan raya berkembar dari Paya Terubong menghala ke Relau itu menyebabkan empat kontena tertimbus.

“Maklumat awal terdapat 10 orang mangsa yang tertimbus…kawasan runtuhan dianggar  500 x 200 kaki (152.4 x 60.96 meter),” kata Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang melalui WhatsApp hari ini.

Gambar : Bernama

Manakala itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh dalam WhatsApp kepada sumber hari ini berkata tiga maut manakala 12 lagi hilang dalam kejadian tanah runtuh itu.

Sementara itu, sekumpulan warga asing yang dipercayai  anggota keluarga dan kenalan mangsa-mangsa yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh berkumpul di pintu masuk projek berkenaan selepas mendapat maklumat berhubung insiden itu.

Mereka yang mula berkumpul sejak pukul 3.30 petang berharap anggota keluarga dan kenalan mereka ditemui selamat namun setakat pukul 5.30 petang tiada sebarang perkembangan dimaklumkan kepada mereka.

Seorang buruh warga Indonesia Kasran Rajuni berharap rakan sekampungnya yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Paya Terubong di sini ditemui selamat.

Kasran, 28, dari Kota Bau-Bau, Sulawesi Utara berkata kali terakhir dia bertemu rakannya ialah kira- kira dua bulan lepas.

“Saya terkejut apabila diberitahu tentang kejadian yang berlaku kepada rakan-rakan di sini dan bergegas ke sini dari tempat kerja di Batu Maung,” katanya kepada sumber di sini hari ini.

Kasran yang telah lima tahun bekerja di negeri ini, berkata rakannya itu baru bekerja tahun ini.

“Sebelum ini saya pun bekerja di tapak projek yang sama, tapi tahun ini dah kerja di tempat lain. Kawan saya tu baru kerja di sini sebagai penembak simen di bukit yang mahu bina lebuh raya berkembar itu,” katanya.

Seorang lagi warga Indonesia yang hanya mahu dikenali sebagai Nita, 30-an berkata dia terus ke sini selepas dimaklumkan saudara lelakinya terlibat dalam kejadian itu.

“Dua minggu lepas dia ada hubungi saya mahu berjumpa tapi saya sibuk masa itu dan berjanji hendak jumpa Ahad ini. Dia bekerja di situ sejak tahun lepas, “ katanya sambil memberitahu nama saudaranya itu ialah Malik.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.