Siakap Keli
BRERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Luluh Hati Seorang Bapa, Tarik Sendiri Jasad Kaku Anak Keluar Dari Tanah

GEORGE TOWN, 20 Okt (Bernama) — Luluh hati seorang bapa apabila jasad kaku yang ditarik oleh beliau bersama-sama anggota penguat kuasa di tapak tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong semalam adalah tubuh anak lelakinya.

Asman Hamid, 62, menarik mayat anak ketiganya, Samsul, 19, daripada timbunan tanah ketika turut serta dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa-mangsa tanah runtuh di kawasan itu.

Kisah itu dikongsi oleh ibu saudara mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ramsiah.

“Bapanya (Asman) turut bersama-sama polis dan bomba ketika mencari anaknya. Dia turut tanggalkan kasut dan korek tanah kemudian tarik Samsul dari tanah itu,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang di sini, hari ini.

Ramsiah berkata sebaik sahaja menarik jasad itu dari timbunan tanah, Asman terus cam yang batang tubuh itu adalah anaknya.

“Mereka (Asman dan isteri) kemudian menaiki trak polis bersama-sama jasad Samsul ke hospital, “ katanya.

Ramsiah berkata keluarganya membuat keputusan untuk membawa pulang jenazah Samsul ke Indonesia setelah proses bedah siasat selesai.

Jenazah akan dibawa pulang menerusi penerbangan dari Pulau Pinang ke Jakarta seterusnya Makasar, Kendari dan dari Kendari, jenazah akan dibawa menaiki pengangkutan darat untuk sampai ke Buton, katanya.

Semalam, Asman dan isterinya tiba di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik HPP pada 6.20 petang. Asman tiba di hospital tanpa memakai kasut serta terdapat kesan selut pada pakaiannya akibat turut serta dalam proses mencari anaknya.

Sementara itu. Asman berkata beliau menerima panggilan daripada salah seorang rakan anaknya yang meminta beliau bergegas ke tempat kejadian.

“Ada kawan dia telefon sama saya minta ke situ. Saya tahu (mengenai kejadian) lepas keluar sembahyang Jumaat, sampai sahaja di rumah isteri sudah menangis, “ katanya yang ke tempat kejadian menaiki teksi dari rumah mereka di Sungai Nibong.

Asman berkata beliau memiliki taraf penduduk tetap manakala anaknya Samsul baru tiba dan baru bekerja di Malaysia selama dua bulan.

“Samsul dan adik beradik yang lain tinggal di Buton Tengah, Sulawesi bersama-sama nenek mereka. Samsul sahaja yang datang ke Malaysia, yang lain masih di kampung,” katanya.

Kejadian tanah runtuh yang dilapor pada pukul 1.56 tengah hari semalam itu sehingga kini menyebabkan empat pekerja asing maut, tiga cedera manakala tiga lagi dikhuatiri masih terperangkap dalam runtuhan tanah.

Kejadian selepas hujan lebat di negeri ini sejak petang Khamis hingga tengah hari semalam itu melibatkan runtuhan tanah di bawah kawasan kontena dan pondok kongsi di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus.

Sumber :BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.