Siakap Keli

Punca Kematian Tiga Beranak Tiada Unsur Jenayah Setakat Ini – Polis

KANGAR, 20 Okt (Bernama) – Bedah siasat yang dibuat oleh tiga pakar forensik terhadap tiga mayat sekeluarga yang lemas di dalam Sungai Arau pada Rabu mendapati tiada kecederaan fizikal pada tubuh mereka yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Perlis SAC Noor Mushar Mohamed berkata bagaimanapun punca kematian hanya boleh dimuktamadkan selepas analisis toksikologi dibuat oleh Jabatan Kimia dalam masa beberapa hari lagi.

Mayat ketiga-tiha mangsa selesai dibedah siasat di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, petang semalam.

Mayat lelaki dewasa  ditemui di pintu tali air Sungai Tambun Tulang di Simpang Empat kira-kira 10 kilometer dari tempat mayat isterinya ditemui di dalam sungai sama manakala mayat anak perempuannya ditemui di dalam Sungai Arau berdekatan Kampung Belat Batu antara 8.35 pagi hingga 12.10 tengah hari.

Semalam polis mendapat perintah menahan reman anak lelaki pasangan itu yang berusia 37 tahun, yang naik ke darat selepas terjun ke dalam Sungai Arau bersama tiga anggota keluarganya bagi membantu siasatan.

Suspek yang pulang ke Sungai Petani dengan menaiki kereta api dari Arau pada pagi Khamis, ditahan di Taman Ria Sungai Petani tengah malam, hari yang sama.

Misteri kematian tiga beranak itu terjawab selepas suspek membuat pengakuan kepada polis punca mereka mengambil tindakan itu dengan meminum racun dan terjun ke dalam sungai di Kampung Bakong Arau pada pukul 2.45 pagi Rabu lepas.

Noor Mushar berkata suami anak perempuan mangsa yang berusia 39 tahun dan seorang cucu saudara allahyarham mangsa perempuan dewasa yang berusia 31 tahun telah membuat pengecaman dan mengesahkan identiti ketiga-tiga mangsa.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.