Siakap Keli

Semangat Betul Adik Ni, Kanak-Kanak Autism Ini Berjaya Daki 3 Buah Gunung Tinggi Dalam Masa 4 Hari

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Anak adalah anugerah terindah yang dikurniakan oleh Sang Pencipta kepada kita. Bagi keluarga yang mempunyai anak istimewa itu bukanlah satu bebanan tetapi ia adalah satu rahmat dan amanah yang besar untuk kita.

Bagi pasangan yang mempunyai anak autisme, tidak perlu berasa terasing dengan masyarakat kerana mereka merupakan satu anugerah dan rezeki yang patut anda syukuri dan beri kasih sayang yang penuh kepada anak tersebut.

Setiap anak mempunyai keistimewaan dan kelebihan masing-masing. Jadi sebagai seorang ibu dan bapa, kita seharusnya membantu mengasah perkembangan anak-anak sama ada anak normal atau anak istimewa dan perlu elakkan membuat perbandigan antara anak anda dengan kanak-kanak normal.

Mari kita ikuti perjalanan hidup seorang autism cilik yang bernama Aqiel Haqqu yang sudah menawan 3 gunung berturut-turut di Indonesia bersama keluarganya pada Ogos yang lalu. Kisah ini dikongsikan oleh bapanya, Mohd Nizam Zambri.

Untuk makluman khalayak, Aqiel Haqqu dilahirkan secara normal seperti kanak-kanak lain dan tiada apa-apa masalah ketika dilahirkan. Haqqu telah disahkan menginap Mild Autism pada umur 3 tahun setengah.

Aktiviti mendaki ini adalah satu terapi dan senaman yang terbaik untuk Haqqu sekaligus mereka sekeluarga menikmati alam dan juga keindahan dengan lebih dekat dengan Sang Pencipta. Dengan pembacaan, aktiviti seperti in juga dapat mendisiplinkan diri Haqqu iaitu mengikut segala arahan yang harus dipatuhi ketika mendaki.

Buktinya si cilik ini sudah mendaki  3 gunung sekali gus pada Ogos lalu iaitu:

  1. Gunung Merbabu 15 Ogos 2018
  2. Gunung Andong 17 Ogos 2018
  3. Gunung Prau 18 Ogos 2018

Menurut bapanya, dengan suhu yang paling sejuk 4 celcius ketika catatan di Gunung Merbabu dia juga berjaya mengharungi keadaan paling tidak selesa yang pernah dia alami setakat ini.

Dia juga antara pendaki cilik yang ditegur dalam kalangan pendaki-pendaki Indonesia ketika ontrek.  Sebelum Haqqu dapat menghabiskan pendakian 3 gunung ini ada sedikit persiapan dan latihan telah pun dilakukan di Malaysia hampir setahun. Alhamdulillah Haqqu berjaya menawan beberapa gunung dan juga bukit.

HARI 1 – 15 Ogos 2018 (Gunung Merbabu)

Menurut Nizam, setibanya mereka di Basecamp Merbabu, mereka disambut dengan keadaan cuaca yang cukup baik. Haqqu ketika itu teruja untuk memulakan perjalanan mendaki. Kelebihan anak autism ini, mereka tidak akan mengenal erti penat ketika waktu berjalan. Malah pasangan suami isteri ini telah ketinggalan jauh dibelakang oleh Haqqu ketika itu. Mujur ada guide yang mengiringi si cilik ini  ketika keadaan memerlukan beliau  memanjat serta ketika berehat. Setelah hampir 4-5 jam pendakian mereka selamat tiba di Merbabu dengan keadaan cuaca sejuk.

Ketika inilah keadaan yang kurang selesa menyebabkan Haqqu sukar untuk tidur sehingga awal pagi esok. Syukur, mereka selamat turun dari Gunung Merbabu dan seterusnya turun ke basecamp untuk persedian pendakian berikut di Gunung Andong.

HARI 3 – 17 Ogos 2018 (Gunung Andong)

Setelah mendapat cukup rehat dan persediaan dibuat, kami berangkat ke basecamp Gunung Andong pada jam 4 pagi. Setelah selesai segala dokumentasi, Haqqu dengan iringan salah seorang guide telah laju kehadapan meninggalkan kami berdua. Trek bertangga sepanjang perjalanan ke Gunung Andong ini mengakibatkan kepenatan buat Haqqu dan sesekali kami mendengar suara kepenatan beliau.

Jam 8 pagi kami semua selamat sampai ke puncak Gunung Andong dengan ribuan pendaki-pendaki tempatan Indonesia ketika itu. Dan sememangnya  ini sudah dijangka keadaan sesak pada ketika itu kerana Indonesia menyambut hari kemerdekaannya. Pengalaman bersama2 lebih 3 ribu orang warga Indonesia menyambut hari kebangsaan mereka, 17 Ogos 2018 di puncak Andong sememangnya sesuatu yang menarik yang akan kami kenang! Haqqu juga menjadi tumpuan disini kerana beliau antara segelintir pendaki muda (Malaysia).

HARI 4 – 18 Ogos 2018 (Gunung Prau)

Pendakian bermula pada jam 8 pagi dengan keadaan cuaca baik dari bandar Dieng. Gunung ini antara lokasi pilihan bagi pendaki2 tempatan. Seperti biasa Haqqu akan diiringi oleh guide yang sememangnya sudah cukup akrab sepanjang kami di Indonesia. Dengan keadaan cuaca kadangkala suhu dingin dan cerah, Haqqu sekali lagi berjaya menghabiskan pendakian untuk sampai ke gunung ketiga dan terakhir untuk trip ini. Seperti di Gunung Merbabu, keadaan cuaca sejuk melampau pada waktu malam telah mengakibatkan ketidakselesaan kepada kami semua.

Mujur dengan sedikit persediaan awal sebelum pendakian, kami khusunya Haqqu dapat tidur nyenyak pada waktu malam.

Terima kasih juga kepada sahabat-sahabat serta guide ontrip ketika menjaga beliau semasa naik dan turun gunung-gunung disana walaupun bahasa yang Haqqu gunakan kadangkala pening nak paham.

Nasihat Nazim kepada masyarakat, jangan malu untuk bawa anak-anak istimewa ini beriadah dan seterusnya menyaksikan keindahan dan kebesaranNya. Cuma kecekalan dan ketabahan untuk membawa anak-anak ini adalah suatu cabaran yang luar biasa buat mereka.

Bagi keluarga yang mempunyai anak autism seperti Haqqu, mereka tidak perlu bersedih dan merasa malu untuk berdepan dengan masyarakat sekeliling. Sepatutnya mereka sepatutnya berbangga dengan anugerah Allah SWT ini kerana anak istimewa hanya dianugerahkan kepada ibu bapa yang istimewa.

 

Sumber: Mohd Nizam Zambri

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang