Siakap Keli

(Video) Sibuk Nak Sakat Orang, Dua ‘Pocong’ Ditangkap Dan Dipaksa Tidur Di Kubur

Dua remaja nakal yang gemar berpakaian seperti hantu pocong diwaktu malam bertujuan untuk menyakat orang ramai akhirnya berjaya ditangkap oleh penduduk kampung dalam satu kejadian yang berlaku di Indonesia.

Namun yang menariknya, adalah cara para penduduk ini mengenakan hukuman kepada dua remaja ini. Kalau di tempat lain, mungkin sudah lunyai dipukul, tetapi penduduk di Lapangan Gelora, Kelurahan Abadijaya, Sukmajaya punya cara tersendiri.

Dalam kejadian yang berlaku pada Jumaat lalu, kedua-dua remaja ini yang tertangkap dihukum untuk tidur di kawasan perkuburan dalam keadaan masih berpakaian seperti pocong sebagai hukuman.

Menurut portal berita tempatan Indonesia, dipercayai penduduk kampung berjaya menahan lima orang remaja yang gemar menimbulkan keresahan dalam masyarakat setempat namun pada hari kejadian, hanya dua daripada mereka yang ditahan dalam keadaan berpakaian seperti pocong, menyebabkan hanya mereka berdua sahaja menjalani hukuman berkenaan.

Beberapa gambar yang diambil di lokasi kejadian pantas tersebar di beberapa platform media sosial. Nyatanya, insiden berkenaan berjaya mencuit hati para netizen.

Menurut ketua kampung, remaja-remaja berkenaan berkelakuan nakal sedemikian kerana terpengaruh dengan jenaka-jenaka yang ada di media sosial. Malah mereka turut menyapu bedak pada muka bagi menyakinkan lagi penyamaran mereka.

Manakala kain putih yang dikenakan untuk menyerupai pocong adalah kain mukena (telekung) kepunyaan nenek masing-masing.

Bagaimanapun remaja-remaja yang tertangkap berkenaan bukanlah penduduk di Kelurahan Gelora, sebaliknya hadir ke kampung berkenaan atas tujuan untuk menyakat penduduk di situ. Mereka dikatakan berasal daripada Kelurahan Abadijaya dan Kelurahan Sukamaju.

Penduduk kampung sepakat untuk tidak mengenakan hukuman yang berat memandangkan tindakan nakal mereka tidak mendatangkan kecederaan kepada orang lain. Namun mereka diarahkan untuk tidur bersebelahan kubur sehingga ibubapa masing-masing datang mengambil.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=3bffqmgvQGg]

 

Sumber : Tribun News

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.