Siakap Keli

”Hanya 35.8 Peratus Ditemui Hidup”, Timb. Menteri Dedah Jumlah Kes Buang Bayi Direkodkan PDRM

Bukan perkara asin, kes buang bayi sememangnya adalah satu daripada penyakit sosial yang seolah-olah tidak dapat dirawat lagi.

Pelbagai laporan, baik daripada media utama tanah air ataupun perkongsian-perkongsian daripada netizen, kalaupun tidak setiap hari, tapi kerap juga kita disajikan dengan penemuan bayi yang dibuang di dalam longkang, ditinggal di tandas atau masjid, depan rumah orang dan banyak tempat lagi.

Paling menyedihkan, apabila bayi-bayi ini ditemui dalam keadaan tidak bernyawa. Ada yang dijumpai dalam longgokan sampah, dalam tali air dan mangkuk tandas. Kejam, memang kejam dan siapa pun mereka, kita pasti tidak dapat memaafkan perbuatan berkenaan.

Terkini, melalui satu tweet daripada BERNAMA Radio, mendedahkan status terkini jumlah penemuan bayi yang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) diantara 2010 sehingga Ogos 2018.

Melalui tweet berkenaan, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Hannah Yeoh mendedahkan bahawa sebanyak 911 kes buang bayi telah direkodkan oleh PDRM.

Beliau kemudian meretweet kembali tweet BERNAMA Radio memberi data yang lebih terperinci berkenaan jumlah bayi yang ditemui masih hidup dan tidak betnyawa lagi.

”Hanya 35.8 peratus (326) kes bayi yang ditemui masih hidup sementara 64.2 peratus (585) sudah tidak bernyawa. Buang stigma. Utamakan keselamatan dan kesihatan bayi dan ibunya,” kata beliau lagi.

Tweet beliau mengenai data-data berkenaan mendapat reaksi yang berbeza-beza daripada netizen. Ada yang memberi cadangan kepada Timbalan Menteri mengenai solusi-solusi yang boleh diambil bagi mengekang jenayah buang bayi daripada terus berleluasa.

Antara cadangan-cadangan yang diberi dan biasa didengar adalah seperti pendidikan seks, mengukuhkan kerjasama antara kementerian dengan agensi agama serta didikan agama daripada keluarga.

Selain itu ada yang turut mencadangkan penikahan awal dan operasi pencegahan khalwat yang lebih tegas turut dilaksanakan.

”YB, kita menghargai usaha dan pendekatan yang sedang dibuat oleh kerajaan. Sejujurnya, saya tidak pasti bagaimana kerajaan mahu menghapus/mengelak perkara ini daripada berulang di masa depan.

”Dengan keadaan masyarakat hari ini dan pendedahan internet, ia akan menjadi satu tugas yang panjang dan sukar,” kata salah seorang netizen.

Sumber : YB Hannah Yeoh

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.