Siakap Keli

Kampung Pawong Di Pos Slim Tidak Selamat

Kampung Pawong di penempatan Orang Asli Pos Slim, Simpang Pulai dekat sini tidak selamat didiami kerana terdedah kepada risiko rekahan tanah lebih teruk.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Perak Datuk Ir Ahmad Zukni Ahmad Khalil berkata kedudukan kawasan itu yang dekat dengan tebing sungai selain faktor cuaca menyebabkan kampung tersebut tidak selamat.

“Buat masa ini, kawasan tersebut masih tidak selamat. Faktor hujan lebat dan jarak dekat dengan tebing sungai adalah faktor utama.

“Rekahan semalam sepanjang 50 meter (m) dengan lebar mencapai 1.2m dan kedalaman 1.5m, tiga buah rumah paling terkesan dengan rekahan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, enam rumah dalam satu deretan di penempatan yang dibina pada 2008 perlu dikosongkan susulan rekahan tanah yang berlaku kira-kira pukul 3 petang.

Menjelas lanjut, Ahmad Zukni berkata lokasi rekahan ke tebing sungai hanya 10m dan ketinggian tebing lebih kurang 60m serta hujan lebat membolehkan hakisan tanah terjadi.

“Ini seterusnya menghasilkan rekahan tanah selari dengan jajaran aliran sungai,” katanya sambil menambah tapak rekahan adalah tanah yang ditambak dan bukannya tanah asal.

Kampung Pawong yang terletak 14 kilometer dari Simpang Pulai mempunyai 15 buah rumah dan sebuah surau. – Bernama

Nur Farra