Siakap Keli

(Video)”Titanic II” Bakal Belayar, Sambung Semula Pengembaraan ‘Moyangnya’ Yang Karam Di Dasar Lautan

Replika saiz sebenar, Titanic II yang dibina menyerupai kapal mewah ‘unsinkable’, Titanic – yang kemudiannya karam pada 15 April 1912 – dijangka akan memulakan pelayaran sulungnya pada tahun 2022.

Kapal berkenaan akan berlayar melalui laluan sama yang digunakan oleh ‘moyangnya’, yang menyaksikan tragedi berlaku apabila kapal berkenaan melanggar ketulan ais dan karam yang membunuh seramai 1,503 orang penumpang dan kru kapal.

Perkara tersebut didedahkan oleh syarikat pembina kapal berkenaan, Blue Star Line setelah pembinaannya sebelum ini beberapa kali ditangguhkan akibat kekangan kewangan.

Titanic II yang menelan kos pembinaan sebanyak USD 500 juta (RM 2.08 bilion) berupaya untuk membawa seramai 2,400 orang penumpang dan 900 orang kru kapal. Sebelum ini, kapal berkenaan dijangka akan memulakan pelayaran pada tahun ini, sebelum terpaksa dianjak sehingga 2022 iaitu 110 tahun selepas Titanic tenggelam.

Jika perancangan berjalan lancar, Titanic II akan berlayar daripada Dubai ke Southamptom di United Kingdom sebelum merentasi Lautan Atlantik menuju ke New York, Amerika Syarikat melalui jalan yang sama yang pernah dilalui oleh Titanic.

”Kapal ini akan melalui pengembaraan yang sama, membawa penumpang daripada Southampton ke New York. Tetapi kapal ini juga bakal dibawa belayar untuk mengelilingi dunia nanti.

”Untuk memberi inspirasi dan menggembirakan orang ramai serta menarik perhatian yang tiada tandingan di semua perlabuhan yang disinggahi,” kata Clive Palmer, CEO Blue Star Line.

Projek untuk membina semula replika saiz sebenar dan mampu berfungsi Titanic pertama kali dicadangkan pada tahun 2012. Namun akibat kekangan kewangan dan pelbagai masalah lain, projek pembinaannya tertangguh sehingga 2015, hanya dimulakan semula pada September tahun berkenaan.

Walaupun dibina untuk menyerupai seratus peratus kapal Titanic yang asal, bagaimanapun daripada segi sistem navigasinya, Titanic II dilengkapi dengan pelbagai peralatan moden bagi mengelak daripada insiden yang menimpa Titanic berulang sekali lagi.

”Berjuta-juta orang bermimpi untuk berlayar di atasnya, melihatnya di perlabuhan dan mengagumi keanggunannya. Titanic II akan menjadi kapal yang akan memenuhi semua impian tersebut,” kata Palmer.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=sCtjzfxnTEs]

 

Sumber : CBS News

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.