Siakap Keli

Beguk Boleh Berjangkit, Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Penyakit Ini

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Media tempatan hari ini melaporkan berlakunya jangkitan penyakit beguk di sebuah sekolah asrama penuh di Kajang. Melalui laporkan akhbar, pelajar-pelajar seko9lah berkenaan diarahkan pulang kembali ke rumah masing-masing selepas arahan untuk menghentikan operasi sekolah berkenaan buat sementara waktu telah diterbitkan.

Apakah penyakit beguk? Bolehke penyakit ini berjangkit? Bahaya ke tidak? Ini mungkin antara persoalan-persoalan yang bermain di minda apabila mendengar perkataan beguk ini.

Mungkin dahulu zaman kanak-kanak, kita pernah melihat selalunya pada bahagian leher rakan-rakan diletak nila bewarna biru untuk merawat penyakit beguk ini. Waktu itu, kita mungkin cuma gelakkan rakan-rakan kita je kan.

Ok, apa kata kali ini anda baca perkongsian yang dibuat oleh seorang jururawat yang dikenali sebagai Bel Nawhen di bawah untuk ketahui apa sebenarnya penyakit beguk ini. Dan yang paling penting, penyakit beguk ini boleh berjangkit, jadi mungkin anda tidak lagi mahu gelakkan rakan anda.

Wabak BEGUK (MUMPS) kembali menular. Lihat sahaja laporan akhbar yang telah saya sertakan di dalam post ini.

Kalau awak semua nak tahu, dulu saya panggil dia benguk. Kelakar bila tengok kawan-kawan yang kena benguk ni datang dengan warna nila di kawasan dagu. Sungguh, tak tahu langsung ia boleh menjangkit.

Lepas tu saya ejek dia, dagu besau. Dahu gelebeh. Dagu ada nila.

Lepas besar sikit, baru tahu nama dia BEGUK. Dia merupakan satu penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus RNA Paramyxovirus.

Bengkak di kawasan bawah dagu adalah disebabkan oleh pembengkakkan dan rasa sakit pada kelenjar parotid.

Beguk ni mudah berjangkit dan virusnya akan merebak melalui titisan daripada mulut, hidung dan tekak apabila mereka yang dijangkiti beguk mengalami batuk atau bersin.

Ia boleh berjangkit selepas 3 atau 4 hari selepas pembengkakan bermula.

Beguk adalah penyakit yang sering berlaku pada kanak-kanak berusia antara 5 hingga 14 tahun sebelum era vaksinasi.

Sebelum vaksin diperkenalkan pada 1967, beguk adalah penyakit yang biasa dihadapi. Di Amerika Syarikat contoh­nya, pernah mencatatkan lebih 200,000 kes beguk dalam setahun.

Tanda jangkitan Beguk bermula pada 12-25hari selepas terjangkit dengan tanda;

  • Demam
  • Sakit kepala
  • Mulut kering
  • Hilang selera makan
  • Keletihan
  • Pembengkakan pada satu atau kedua-dua kelenjar parotid

Gejala-gejala ini biasanya hilang dalam masa 10–12 hari.

Pembengkakan dan sakit pada satu atau kedua-dua kelenjar parotid. Ia boleh bertambah beng­kak jika berlaku aktiviti mengunyah, menelan dan bercakap.

Bagi mereka yang menerima jangkitan, ia akan pulih sepenuhnya sendiri tetapi boleh berlaku komplikasi terhadap organ lain jika tidak dirawat (terutama jika berlaku kepada dewasa) seperti ;

  • Encephalitis(Pembengkakan pada otak).
  • Meningitis(pembengkakan pada lapisan otak).
  • Pancreatitis( Pembengkakan pada Pankreas).
  • Orchitis(Lebam pada testis) yang berlaku pada lelaki dewasa. Dan boleh menyebabkan mandul.
  • Pekak.
  • Ooforitis (radang ovari).Keadaan ini berlaku pada perempuan dewasa menyebabkan abdomen bahagian bawah membengkak dan sakit.

Bagi mengurangkan simptom :

  • Paracetamol untuk mengurangkan demam dan rasa sakit
  • Mengambil lebih minuman tetapi elakkan jus-jus yang berasid kerana pengambilan makanan dan minuman yang masam atau berasid akan menggalakkan rembesan keluar air liur daripada kelenjar parotid hingga meningkatkan rasa sakit.
  • Letakkan ais pada kelenjar parotid atau testis untuk melagakan kesakitan.

Orang yang dijangkiti hendaklah tinggal di rumah sehingga ianya tidak boleh lagi berjangkit ( iaitu sehingga 9 hari selepas pembengkakan kelenjar air liur) atau sehingga bengkak tersebut hilang.

Beguk boleh dicegah dengan vaksin. Vaksin beguk ini diberi pada umur 9 bulan dan kemudian ketika berumur 1 tahun sebagai sebahagian daripada vaksin MMR iaitu (mumps,measles and rubella) ianya sangat berkesan untuk mencegah beguk ini.

Beguk merupakan jangkitan virus dan TIDAK ada antibiotik yang boleh merawatnya.

Menyapu nila bersama bancuhan cuka, atau garam atau gula untuk menyembuhkan beguk adalah #mitos. Ia hanya satu kaedah untuk melegakan rasa sakit dengan memberikan efek sejuk.

Rujukan : Portal MyHealth

Notakaki:
Sebab tu vaksin diberi sebagai langkah pencegahan. Sakit ni kalau dia nak muncul, bukan dia beritahu.

#BelNawhen
#SayaJururawat

Sumber : Bel Nawhen

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.