Siakap Keli
Gambar : Suara Perak

Isnin Cuti Umum Di Perak Jika ‘The Bos Gaurus’ Rangkul Piala Malaysia

Kerajaan negeri Perak mengumumkan cuti khas peristiwa pada Isnin ini (29 Okt) sekiranya pasukan bola sepak negeri berjaya merangkul Piala Malaysia pada perlawanan akhir menentang skuad Terengganu di Stadium Shah Alam malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri Howard Lee Chuan How berkata perkara itu telah diputuskan selepas perbincangan bersama Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu selaras dengan Akta Hari Kelepasan Am 1951.

“Ini merupakan satu detik bersejarah arena bola sepak Perak dan penghargaan kerajaan negeri kepada rakyat negeri yang memberikan sokongan padu kepada pasukan bola sepak Perak sehingga mara ke final Piala Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada sumber pada Program Jom Niaga Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) di sini hari ini.

Lee berkata kerajaan negeri juga akan memberi ganjaran serta insentif selain daripada wang kepada semua pemain serta pegawai yang terlibat dan pengumuman mengenainya dijangka selepas Perak menjulang trofi Piala Malaysia.

“Marilah kita tunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi serta semangat kesukanan yang tinggi demi memastikan lakaran sejarah kejayaan pasukan Perak dapat direalisasikan pada pertemuan akhir ini,” katanya.

Kali terakhir Perak merangkul Piala Malaysia adalah pada tahun 2000, selepas berjaya menewaskan Negeri Sembilan 2-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di stadium sama.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.