Siakap Keli
BERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mustapa Mohamed Sertai Bersatu

PETALING JAYA, 26 Okt (Bernama) — Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang bertindak keluar UMNO bulan lepas, menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), malam ini.

Beliau menyerahkan borang keanggotaan secara rasmi kepada Pengerusi Bersatu, yang juga Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta disaksikan presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pimpinan tertingginya pada sidang media selepas mesyuarat majlis pimpinan tertinggi parti berkenaan yang berlangsung di sini.

Mustapa turut menerima kad keanggotaan parti daripada Dr Mahathir.

Mengulas penyertaan Mustapa, Dr Mahathir berkata penyertaan Anggota Parlimen Jeli itu dibuat secara sukarela dan bukan atas jemputan parti.

“Saya amat sukacita kerana kita terima keahlian dari bekas tokoh UMNO. Kita telah beri masa kepadanya untuk jadi anggota Parlimen bebas dan setelah kita lihat pendiriannya maka kita setuju beliau layak jadi anggota parti Bersatu,” katanya.

Mustapa mengisytiharkan keputusannya untuk keluar UMNO pada 18 Sept lepas selepas 40 tahun berkhidmat di dalam parti itu dengan alasan pendekatan parti berkenaan tidak lagi selari dengan prinsip politik diperjuangkannya selama ini.

Ditanya sama ada lebih ramai anggota UMNO akan menyertai Bersatu, Dr Mahathir berkata ringkas: “Kami akan lihat.”

Sementara itu Mustapa yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata keputusannya untuk menjadi anggota Bersatu dibuat setelah melakukan penelitian selama beberapa minggu sebagai Anggota Parlimen Bebas dan perkembangan politik semasa.

Katanya wadah perjuangan Bersatu dilihat mampu untuk memberinya peranan lebih besar untuk membela kepentingan kawasannya di Jeli khususnya, dan Kelantan secara menyeluruh.

“Saya ingin rakam ucapan terima kasih kepada Tun Dr Mahathir dan (Tan Sri) Muhyiddin dan saf kepimpinan Bersatu kerana terima kemasukan saya dalam parti,” katanya.

Beliau juga berharap dapat membantu kerajaan dalam melaksanakan agenda pemerkasaan Bumiputera dan pelan ekonomi yang lebih inklusif.

Sementara itu Dr Mahathir mengumumkan Perhimpunan Agung Bersatu dijadualkan berlangsung dari 28 hingga 30 Disember ini.

Perkara itu ditetapkan dalam mesyuarat selama dua setengah jam dipengerusikan beliau yang turut membincangkan usaha menambah baik sistem keanggotaan parti.

Selain itu Dr Mahathir mengumumkan penubuhan lapan bahagian Bersatu di Negeri Sembilan.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Tambah komen

Sumbang Artikel Anda

Anda suka menulis dan berkongsi? Tetapi tiada medium yang sesuai? Anda dialu-alukan untuk menulis di Siakap Keli sekiranya penulisan anda itu suatu perkara yang manfaat.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di