Siakap Keli
Gambar : Bernama

Berkuatkuasa 2019, Mana-Mana Transaksi Bank Lebih RM25,000 Perlu Lapor Kepada BNM

Semua transaksi yang melebihi RM25,000 di mana-mana institusi kewangan perlu dilaporkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berkuat-kuasa tahun 2019.

Berbanding RM50,000 sebelum ini, kadar tersebut direndahkan dengan alasan bagi mengekang sebarang jenayah kewangan dan pembiayaan keganasan di negara ini.

Menerusi satu portal media tempatan, Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus hari ini berkata, sebanyak RM10 trilion (ASD2.6 trilion) hilang serata dunia selama ini akibat jenayah kewangan.

Susulan itu, langkah ini diambil bagi mengurangkan kadar penghantaran wang dan menetapkan had penghantaran ke RM25,000 sehari. Ini boleh membantu membendung sebarang risiko jenayah kewangan dalam negara.

Pada masa yang sama, beliau turut menyarankan agar semua pihak memainkan peranan jika benar-benar mahu menangani jenayah kewangan.

Jelasnya, walaupun ramai mengatakan mereka sudah tahu mengenainya, tetapi risiko yang berkaitan dengan jenayah kewangan masih lagi dianggap remeh.

Beliau turut meminta agar semua pihak mengambil tahu tentang perkembangan dunia kewangan yang memberi laluan kepada cara penjenayah menipu orang ramai.

Antaranya, adalah penipuan di sektor perbankan internet. Memberi contoh di Malaysia, beliau berkata transaksi perbankan internet adalah sebanyak 500 juta pada 2016.

Tetapi, kini angka itu telah meningkat ke 1.2 bilion transaksi sehingga ogos tahun ini sekaligus menjadikan risiko penipuan kewangan dan jenayah kewangan semakin meningkat.

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.