Siakap Keli
Gambar Hiasan

Lion Air Baru Guna Boeing 737 MAX 8 Tak Sampai 3 Bulan, Antara Fakta-Fakta Tentang JT 610 Yang Terhempas

Kita dikejutkan dengan tragedi pesawat terhempas yang menimpa penerbangan JT 610 Lion Air, Indonesia yang membawa penumpang hampir 190 orang. Menurut pasukan penyelamat, mereka menjangkakan tiada mangsa yang selamat.

Pelbagai spekulasi dibuat berkaitan punca pesawat berkenaan boleh terhempas, ditambah dengan fakta bahawa pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 adalah sebuah pesawat baru dan kejadian yang menimpa Lion Air adalah yang pertama yang melibatkan pesawat berkenaan.

Segala perincian kemalangan ketika ini masih belum jelas dan tiada punca kepada kemalangan yang disahkan oleh pasukan penyiasat sehingga semua siasatan diselesaikan.

Bagaimanapun, media antarabangsa melaporkan bahawa sesebuah pesawat komersial yang serba canggih boleh terhempas atas kombinasi pelbagai faktor, selalunya melibatkan kegagalan fungsi teknikal dan kesilapan manusia.

Persoalannya, adakah dua faktor berkenaan boleh dikaitkan dengan bencana yang menimpa pesawat JT 610 yang merupakan sebuat pesawat baru?

Fakta yang perlu diketahui ramai adalah, Boeing 737 MAX 8 hanya mula digunakan secara komersial sejak tahun 2017 dan bagi kes Lion air, pesawat berkenaan hanya mula digunakan sejak 15 Ogos lalu.

Sebelum ini, pada Julai, wakil syarikat penerbangan tambang murah Lion Air dengan bangganya mengumumkan bahawa mereka merupakan syarikat penerbangan pertama di Indonesia yang bakal menggunakan pesawat serba baru tersebut. Malah, syarikat berkenaan turut mendedahkan membuat tempahan sebanyak 218 unit pesawat yang sama daripada Boeing.

Satu lagi fakta menarik yang boleh dikongsi adalah pesawat tersebut sebelum terhempas hanya menjalani penerbangan selama 800 jam sahaja seperti didedahkan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Pengangkutan Indonesia, Soerjanto Tjahjano.

Menurut laporan media, sebelum terhempas juruterbang pesawat berkenaan yang merupakan warga kelahiran India meminta untuk berpatah balik, tidak lama sebelum berlepas.

Dan kini, tragedi ini dan permintaan juruterbang mengesahkan memang ada sesuatu yang tidak kena dengan pesawat pada Isnin saat ia berlepas.

Satu log teknikal yang diperolehi oleh BBC daripada Lapangan Terbang Denpasar untuk pernebangan dari Bali ke Jakarta (pesawat sama sebelum terhempas) pada Ahad mendedahkan bahawa alat bacaan kelajuan angin yang digunakan oleh kapten diragui ketepatannya selain alat bacaan ketinggian menunjukkan bacaan yang berbeza diantara kapten pesawat dengan pembantu juruterbang.

Walaupun berhadapan dengan masalah ketika itu, kapten dan pembantu juruterbang bagaimanapun berjaya menerbangkan pesawat berkenaan dengan baik dan berjaya mendarat dengan selamat.

Lion Air ketika ini belum mengesahkan laporan yang dibuat oleh BBC, bagaimanapun ia mungkin menjadi ‘masalah teknikal’ yang tidak dapat dipastikan seperti yang dikatakan oleh Ketua Pengarah Eksekutif Lion Air sebelum ini.

Edward Sirait bagaimanapun berkata, masalah berkenaan sudah pun berjaya diselesaikan melalui prosedur yang ditetapkan.

Beliau turut menambah ketika ini Lion Air mengoperasikan 11 buat pesawat jenis tersebut dan tidak bercadang untuk menghentikan operasi pesawat berkenaan buat sementara waktu.

Seorang penganalisis penerbangan, Gerry Soejatman memberitahu BBC bahawa masalah yang dihadapi oleh pesawat Lion Air biasanya hanya ditunjukkan oleh pesawat-pesawat lama, bagaimanapun tidak menolak masalah yang sama boleh berlaku kepada pesawat yang baru.

”Jika pesawat berkenaan benar-benar baru, ia mungkin boleh berlaku halangan fungsi (snags) yang hanya terdedah apabila pesawat berkenaan digunakan secara rutin. Bagaimanapun masalah berkenaan boleh dikenal pasti dan diselesaikan dalam tempoh tiga bulan pertama,” katanya.

Pesawat malang berkenaan akan mencapai usia tiga bulan digunakan dalam beberapa minggu lagi.

Seorang lagi penganalisis, Jon Ostrower berkata ”sentiasa ada masalah biarpun untuk pesawat baru, namun bukanlah sehingga tahap mampu mengancam keselamatan sesebuah pesawat”.

”Biasanya pesawat baru akan ‘bercuti’ daripada sebarang penyelenggaraan memandangkan semua yang ada pesawat tersebut masih baru, bukannya menggunakan alat ganti,” katanya lagi.

Kedua-dua penganalisis bagaimanapun mengakui tidak tahu punca tepat pesawat baru boleh terhempas.

Namun begitu, mereka percaya rekod buruk Indonesia membabitkan kemalangan aviasi mungkin menjelaskan bahawa kesilapan manusia dan kegagalan teknikal adalah kombinasi kepada kecelakaan yang berlaku pada Isnin itu.

Boeing dalam satu kenyataan turut mezahirkan rasa sedih dengan insiden yang menimpa pesawat mereka dan menyampaikan ucapan takziah kepada semua mangsa yang terlibat.

Syarikat tersebut memberitahu baawa mereka bersedia untuk memberikan kerjasama kepada pasukan penyiasat. Manurut Boeing, pesawat Boeing 737 MAX 8 merupakan pesawat kormesial paling banyak dijual dengan jumlah tempahan mencecah 4,700 buah.

Selain Lion Air, pesawat berkenaan turut diterbangkan oleh American Airlines, United Airlines, Norweigan dan FlyDubai.

Sumber : BBC

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.