Siakap Keli
Gambar : Bernama

Jamal Yunos Diarah Bayar Ganti Rugi RM300,000 Kepada Maria Chin

Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos  membayar ganti rugi RM300,000 kepada bekas Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Maria Chin Abdullah selepas mendapati kenyataan Jamal yang mengaitkan Bersih 2.0 dengan kumpulan pengganas Daesh adalah menfitnah wanita itu.

Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab juga mendapati pengucapan yang dibuat oleh Jamal selaku defendan adalah merujuk kepada Anggota Parlimen Petaling Jaya Maria Chin, 62,  selaku plaintif walaupun secara jelasnya pengucapan yang dibuat oleh Jamal tidak menyebut nama plaintif.

Beliau juga berkata mahkamah mendapati pengucapan yang dibuat oleh defendan di dalam makna semulajadinya bersifat fitnah dan tindakan defendan memberi kesan buruk kepada plaintif selain mencetuskan perasaan benci masyarakat terhadap plaintif.

“Mahkamah perlu menimbang samada defendan berjaya membuktikan pembelaan-pembelaan yang mereka timbulkan. Defendan menimbulkan dua pembelaan iaitu keistimewaan bersyarat dan komen yang saksama. Defendan mempunyai beban untuk membuktikan pembelaan-pembelaan, bagaimanapun saya mendapati defendan gagal membuktikan pembelaan-pembelaan itu.

Bagi pembelaan keistimewaan bersyarat, saya mendapati defendan gagal membuktikan dia mempunyai kepentingan atau tugas dari segi perundangan, kemasyarakatan atau moral untuk mengucapkan kata-kata itu manakala bagi pembelaan komen yang saksama pula saya mendapati defendan gagal buktikan fakta yang dijadikan asas kepada komennya,” katanya.

Hakim itu berkata berdasarkan dapatan tersebut, beliau membenarkan saman yang difailkan plaintif.

Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan defendan membayar ganti rugi RM300,000 dan kos guaman RM40,000 kepada Maria Chin yang diwakili peguam N. Surendran.

Pada 7 Oktober 2016, Maria Chin memfailkan saman fitnah itu  dengan menamakan Jamal, yang merupakan Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu dan Gerakan Merah Malaysia (GMM), sebagai defendan atas dakwaan mengaitkan Bersih 2.0 dengan kumpulan pengganas Daesh.

Dalam saman yang difailkan melalui Tetuan Daim & Gamany, Maria Chin mendakwa pada 28 Sept 2016, Jamal mengeluarkan kata-kata fitnah dalam satu sidang media di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan diterbitkan serta disiarkan di beberapa portal berita, media cetak nasional dan media elektronik.

Beliau juga mendakwa, pada 4 Okt lepas, Jamal sekali lagi mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya di perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan diterbitkan pada 5 Okt di portal berita, media cetak nasional dan media elektronik.

Beliau menuntut ganti rugi am, teruk, dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada mengulangi atau menyiarkan semula perkataan fitnah itu.

Ketika ditemui media, Maria Chin berkata keputusan hari ini membuktikan gabungan itu bukan kumpulan pengganas seperti yang didakwa defendan dan ia menunjukkan Bersih 2.0 ‘bersih’ dengan agendanya manakala, Jamal yang diwakili peguam Nasir Yusof berkata pihaknya akan memfailkan rayuan.

Jamal tidak hadir ke prosiding hari ini.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.