Siakap Keli

Bela Kanak-Kanak Miskin Bandar, Tindakan McDonald’s Wajar Dipuji

McDonald’s tahun ini dibawah program tahunan ‘Kembali Ke Sekolah’ menceriakan lebih 17,000 pelajar sekolah rendah di seluruh negara daripada golongan kurang berkemampuan dan miskin bandar dengan tajaan bernilai lebih RM1.7 juta.

Inisiatif ini dilaksanakan oleh McDonald’s Malaysia bersama Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.

Apa yang menariknya, program ini dianjurkan sebagai usaha memberi tumpuan khusus kepada aktiviti berorientasikan kanak-kanak berlangsung selama sebulan sempena Hari Kanak-Kanak Malaysia yang disambut pada hari Sabtu terakhir bulan Oktober pada setiap tahun.

Melalui program ‘Kembali Ke Sekolah’, McDonald’s Malaysia, RHMC, francaisi dan rakan-rakan perniagaan yang mengambil bahagian akan menghulurkan bantuan berupa set pakaian sekolah baru bernilai RM100 setiap satu kepada lebih 17,000 kanak-kanak golongan miskin bandar di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi sesi persekolahan tahun 2019.  Setiap kanak-kanak akan menerima 1 set pakaian seragam sekolah, sepasang kasut sekolah dan sebuah beg sekolah.

“Kanak-kanak dan ibu bapa daripada golongan miskin bandar tidak perlu risau mengenai sumber kewangan untuk membeli pakaian seragam dan kasut untuk ke sekolah.  Kami di McDonald’s  dan RHMC ingin melaksanakan tanggungjawab kami dengan menghilangkan kerisauan yang dihidapi oleh ibu bapa ini, seterusnya membolehkan anak-anak mereka memulakan tahun persekolahan yang baru dengan penuh keyakinan,” kata Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan Mcdonald’s Malaysia, Azmir Jaafar.

Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan merupakan tetamu kehormat untuk majlis penyampaian rasmi pek ‘Kembali Ke Sekolah’ yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya pagi semalam (Selasa).  Majlis turut dihadiri guru-guru dan  para pelajar dari 18 buah sekolah sekitar Lembah Klang.

“Bagi pihak Kementerian Pendidikan Malaysia, saya ingin mengucapkan tahniah kepada McDonald’s Malaysia, RMHC, francaisi dan rakan-rakan perniagaan mereka yang sama-sama membantu menyediakan keperluan sekolah kepada kanak-kanak ini.  Kami gembira kerana McDonald’s Malaysia dan RMHC melaksanakan tanggungjawab mereka hari ini dalam membantu generasi muda yang merupakan asas perubahan untuk masa depan yang lebih cerah.  Kita semua perlu bersama-sama membudayakan rasa gembira, sayang dan saling hormat-menghormati ke arah mewujudkan persekitaran pembelajaran yang positif,” kata Dr. Maszlee.

via GIPHY

Program ini disambut baik rakan-rakan perniagaan McDonald’s, Kerry Ingredients, Guppy Plastic Industry, Eppor-Pack, Aladdin Pacific, McCain International, Aryzta Malaysia dan francaisi-francaisi McDonald’s yang mengakui program seperti ini memberi kesan positif kepada masyarakat.

Selain program ‘Kembali Ke Sekolah’, McDonald’s turut mengambil bahagian sempena Bulan Komuniti yang dianjurkan pada setiap bulan Oktober melibatkan seluruh restoran McDonald’s dengan memberi sumbangan kepada komuniti tempatan melalui lebih 170 program.  Pelbagai aktiviti telah dijalankan termasuk membawa kanak-kanak dair rumah anak-anak yatim melawat tempat-tempat menarik seperti Zoo dan taman rama-rama, lawatan ke wad kanak-kanak di hospital, membersihkan rumah anak-anak yatin sempena perayaan Deepavali, serta meraikan kanak-kanak di restoran McDonald’s sempena Hari Kanak-Kanak.

Nur Farra