Siakap Keli

Kelantan Direkodkan Negeri Paling Tinggi Punyai Tanah Rezab Melayu

Tanah rizab Melayu antara salah satu perkara yang sangat sensitif dan jarang-jarang disebut dalam mana-mana laporan berita. Mengikut wasiat ditulis oleh Raja-Raja Melayu, salah satu daripada 7 perkara yang disebut adalah mengenai tanah rizab Melayu.

Berdasarkan wasiat berkenaan yang ditulis pada 5 Ogos 1957, tanah rizab Melayu mestilah mempunyai keluasan sekurang-kurangnya 50 peratus. Tanah rizab ini dikhaskan untuk orang Melayu di Semananjung Malaysia.

Berdasarkan infografik yang diterbitkan oleh BERNAMA, luas kawasan tanah rizab Melayu sehingga tahun 2014 nyata masih jauh daripada angka 50 peratus seperti wasiat yang ditinggalkan Raja-Raja Melayu terdahulu.

Melalui infografik berkenaan, luas negeri-negeri di Semenanjung termasuk bekas Negeri-Negeri Selat (Pulau Pinang dan Melaka) ialah 12,910,138.39 hektar.

Sentiasa Panas

Malangnya, sehingga 2014, keluasan tanah rizab Melayu keseluruhan hanyalah 4,113,182.44 hektar sahaja atau 31.86 peratus. Jumlah keluasan tanah rizab Melayu berdasarkan wasiat Raja-Raja Melayu sepatutnya adalah sekurang-kurangnya 6,455,069.19 hektar.

Sekurang-kurangnya tiga buah negeri menunjukkan jumlah tanah rizab Melayu yang mengecewakan iaitu Terengganu, Kuala Lumpur dan Pahang. Ketiga-tiga negeri ini menunjukkan jumlah peratusan tanah rizab Melayu paling rendah berbanding saiz keluasan negeri.

Di Terengganu, dengan saiz negeri 1,295,862.84 hektar, tanah rizab Melayu yang masih kekal tidak pun sampai 1 peratus. Mengikut data daripada BERNAMA, saiz tanah rizab Melayu di negeri pantai timur ini hanyalah 118.21 hektar ataupun 0.009 peratus dan jumlah ini hanyalah 0.003 peratus daripada luas tanah rizab Melayu secara keseluruhan. Bagaimanapun, tanah pegangan Melayu di Terengganu mewakili 60 peratus daripada luas keseluruhan negeri berkenaan. Tanah pegangan Melayu bermaksud tanah yang dimiliki oleh orang Melayu melebihi 4 hektar (10 ekar).

Kedua paling rendah adalah Kuala Lumpur yang menjadi ibu negara Malaysia. Keluasan tanah rizab Melayu negeri hanyalah sekitar 3.31 peratus ataupun 803.45 hektar berbanding luas negeri iaitu 24,276.54 hektar. 3.31 peratus ini kemudian menyumbang kepada nilai sekecil 0.02 peratus tanah rizab Melayu keseluruhan.

Sudah tentu yang paling mengecewakan adalah Pahang memandangkan negeri berkenaan merupakan negeri semenanjung paling besar.

Dengan saiz negeri adalah 3,597,468.48 hektar, tanah rizab Melayu daripada Pahang hanyalah memawakili 10.62 peratus tanah rizab Melayu keseluruhan atau 436,910.47 hektar atau 12.14 peratus daripada saiz negeri.

Manakala negeri-negeri yang merekodkan tanah rizab Melayu tertinggi adalah Kelantan, Kedah dan Perak.

Bagi negeri Kelantan yang mempunyai keluasan tanah 1,510,868.72 hektar, keluasan tanah rizab Melayu adalah 1,308,686.97 hektar atau 31.82 peratus daripada keluasan tanah rizab Melayu keseluruhan. Nisbah kepada saiz negeri pula adalah 86.62 peratus sekaligus negeri yang mempunyai tanh rizab Melayu paling banyak dan luas.

Manakala negeri Kedah pula menyumbang kepada saiz tanah rizab Melayu keseluruhan 14.59 peratus atau 600,087.39 hektar. Saiz negeri Kedah adalah 943,753.79 hektar. Nisbah kepada saiz negeri adalah 63.65 peratus.

Perak pula menyumbang sebanyak 22.22 peratus kepada saiz keseluruhan tanah rizab Melayu keseluruhan iaitu 913,981.83 hektar dengan nisbah kepada saiz negeri adalah 43.50 peratus.

Antara negeri-negeri lain yang turut dimasukkan kedalam senarai adalah negeri Selangor yang menyumbang sebanyak 160,237.35 hektar atau 3.90 peratus dengan nisbah kepada saiz negeri 20.20 peratus. Saiz negeri Selangor adalah 793,233.54 hektar.

Negeri Sembilan, saiz negerinya adalah 665,888.26 hektar dan menyumbang tanah rizab Melayu keseluruhan adalah 225,895.90 hektar atau 5.49 peratus. Nisbah kepada saiz negeri adalah 33.92 peratus.

Negeri paling selatan, Johor pula menyumbang kepada tanah rizab Melayu keseluruhan sebanyak 10.44 peratus atau 429,386.77 peratus. Nisbah kepada saiz negeri adalah 22.61 peratus dengan saiz negeri adalah 1,899,199.26 hektar.

Manakala bagi negeri paling utara iaitu Perlis pula, dengan saiz negeri cuma 79,521.41 hektar Perlis berjaya menyediakan tanah rizab Melayu hampir separuh saiz negeri iaitu 37,073.10 hektar dengan nisbah kepada saiz negeri adalah sebanyak 46.62 peratus. Jumlah ini menyumbang sebanyak 0.90 peratus kepada tanah rizab Melayu keseluruhan.

Memetik laporan BERNAMA yang menggariskan beberapa alasan yang menyebabkan tanah rizab Melayu gagal mencapai angka yang sepatutnya berdasarkan kajian yang dibuat oleh Pensyarah Kanan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seri Iskandar di Perak, Dr Mohd Hasrol Haffiz Aliasak.

Menurutnya antara faktor-faktor yang menyumbang kepada masalah ini adalah kegagalan pihak sepatutnya untuk menggantikan semula tanah rizab Melayu yang ditebus guna untuk tujuan ekonomi dengan tanah yang baru.

Faktor yang kedua adalah tindakan pemilik tanah rizab Melayu itu sendiri yang memohon pembatalan status tanah rizab Melayu daripada Pihak Berkuasa Negeri bagi memberi laluan pelupusan tanah dan menjualnya kepada mana-mana pembeli sama adala Melayu, bukan Melayu atau warga asing.

Satu lagi yang dibangkitkan oleh beliau adalah kelemahan penguatkuasaan undang-undang. Walaupun secara umumnya tanah rizab Melayu dilindungi undang-undang, namun penguatkusa yang tidak bersungguh-sungguh menguatkuasakan undang-undang berkenaan menyebabkan masalah tanah rizab Melayu ini kekal membimbangkan.

Laporan Ketua Audit Negara pada 2013 sendiri turut mendedahkan terdapat pimpinan kerajaan negeri tertentu menukar status tanah rizab Melayu menjadi tanah pegangan terbuka bagi membolehkan tanah berkenaan dijualkan kepada warga asing.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.