Siakap Keli

”Kita Kalah Sebab 1MDB, Tamat” – KJ Sindir Najib?

”Kita kalah sebab 1MDB. Tamat”.

Itulah kenyataan ringkas yang dibuat oleh Ahli Parlimen Rembau, YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebentar tadi ketika mengretweet satu laporan portal berita berbahasa Inggeris.

KJ dipercayai menempelak dawaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bahawa Barisan Nasional (BN) tewas sehingga hilang kuasa sebagai kerajaan pusat pada pilihan raya umum yang lalu akibat fitnah, penipuan dan janji palsu yang dibuat oleh lawan politiknya.

Retweet berkenaan nyata mendapat perhatian netizen apabila sehingga kini sudah mendapat sebanyak 449 reply, lebih 8 ribu retweet dan lebih 6000 suka.

Netizen juga dilihat turut meninggalkan komen dengan majoriti melontarkan pandangan bahawa bersetuju dengan kenyataan ringkas KJ.

Antaranya adalah Sokan Malaya yang berpendapat bahawa polisi kerajaan BN dan Najib dahulu tidaklah terlalu bermasalah, namun imej buruk 1MDB menjadi satu beban besar yang terpaksa ditanggung.

”Sebenarnya polisi Kerajaan BN semasa DSN tak ada masalah sangat pun. Cuma beban skandal 1MDB tu terlalu berat untuk dipikul semasa kempen. Ahli kat Cawangan yang buat kerja tak tahu nak jawab apa pasal Jho Low ni,” katanya.

Seorang lagi netizen dengan nama razakBV turut senada dengan KJ.

”Ya YB KJ. Terima hakikat dan keluar daripada sindrom penafian. Saya berharap agar semua ahli UMNO mempunyai keberanian seperti kamu. Najib adalah sejarah dan biarkan dia terus hidup dengan ceritanya,” katanya.

Bagaimanapun ada juga netizen yang menempelak KJ kembali berhubung kenyataannya itu.

”Anda kalah sebab sebelum ini anda hanya berdiam diri melihat apa yang boss besar anda buat. Akui kesilapan anda sendiri,’‘ kata netizen tersebut.

”Kamu patut lebih bertegas dengan kebenaran dari awal lagi. Bukan sekarang,” kata seorang netizen yang lain.

Terdahulu Najib melalui live yang dipancarkan di facebooknya hadir ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi menyertai Sesi Dialog Sembang Santai bersama-sama pengikut tegarnya.

Sumber : Twitter Khairy Jamaluddin Abu Bakar

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.