Siakap Keli

”Hati Saya Hancur”, Luah Ibu Anak Mangsa Perang Yeman Yang Meninggal Dunia Akibat Kekurangan Zat

Seorang kanak-kanak daripada Yeman dimana beberapa keping gambarnya yang kekurangan zat pernah mengejutkan dunia minggu lepas, dikhabarkan telahpun meninggal dunia pada usia 7 tahun.

Berita sedih itu diberitahu oleh ibunya sendiri. Gambar-gambar berkenaan yang tular berkenaan lantas mengingatkan dunia bahawa konflik berpanjangan di negara tersebut memberi kesan yang amat dahsyat terutamanya kepada kanak-kanak.

Amal Hussain menjadi simbol betapa teruknya peperangan proksi yang berlaku membabitkan tentera pakatan yang diketuai oleh Arab Saudi dalam memerangi pasukan pemberontak di Yeman.

Semalam, keluarga Amal memaklumkan bahawa kanak-kanak malang tersebut meninggal dunia di sebuah kem pelarian yang terletak hanya kira-kira 4 batu daripada sebuah klinik yang didirikan oleh UNICEF di Aslam. Gambar Amal pertama kali diedarkan di internet oleh portal berita New York Times.

Gambar-gambar Amal terus memberi tekanan kepada Arab Saudi yang ketika ini sedang berhadapan dengan tuduhan pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi di bangunan Konsulat Arab Suadi di Turki bulan lepas.

”Hati saya hancur. Amal seorang yang periang dan suka senyum. Kini saya risaukan nasib anak-anak saya yang lain,” kata ibu Amal, Maryam ali kepada wartawan.

Amal ketika di rawat di sebuah hospital kendalian UNICEF, kanak-kanak tersebut dilaporkan mengalami gejala muntah dan diarrhoea yang teruk. Ketika dirawat, doktor memberikan Amal minum susu dua kali sehari.

Selain itu, Amal juga mengalami masalah kekurangan nutrisi yang memilukan berdasarkan keadaan tubuh badannya yang kering sehingga menampakkan tulang rangka. Keadaan Amal bertambah parah ketika keluarganya terpaksa melarikan diri daripada serangan udara tentera pakatan terhadap kampung halamannya.

Malah, Maryam sendiri ketika ini berhadapan dengan penyakit denggi yang dihidapinya semenjak berpindah ke kem pelarian tersebut.

Maryam turut memberitahu mereka tiada pilihan lain seperti membawa Amal medapatkan rawatan yang lebih baik di hospital Doktor Tanpa Sempadan kerana menghadapi masalah kewangan.

Menurut PBB, kanak-kanak merupakan mangsa paling teruk menerima kesan akibat peperangan di negara berkenaan. Dilaporkan sekurang-kurangnya 7 juta kanak-kanak berhadapan dengan krisis makanan dan kekurangan gizi.

Daripada jumlah tersebut, kira-kira 1.8 juta kanak-kanak disahkan berhadapan dengan sekurang-kurangnya satu masalah nutrisi yang akut, manakala sekitar 400 ribu lagi berhadapan dengan beberapa masalah nutrisi yang akut.

Peperangan di Yeman yang diketuai Arab Saudi dan disokong oleh Amerika Syarikat tersebut sudah berlarutan melebihi beberapa tahun menentang pemberontak Houti yang disokong oleh Iran, musuh ketat Arab Saudi di rantau berkenaan.

Setelah beberapa kali pendedahan dibuat media berhubung serangan udara tentera pakatan ke atas kedudukan awam, Amerika Syarikat melalui Setiausaha Pertahanan, Jim Mattis dan Setiausaha Negara, Mike Pompeo akhirnya menggesa kedua-dua pihak menghentikan peperangan serta-merta.

Perkara ini turut disokong oleh Kanselor Jerman, Angela Merkel  yang berikrar bahawa negara berkenaan tidak akan sesekali menjadi pembekal senjata kepada Arab Saudi.

”Arab Saudi perlu melakukan sesuatu, apa cara sekalipun bagi mengatasi masalah kemanusian yang sedang melanda Yeman ketika ini.

”Ketika ini, ada berjuta-juta orang yang tidak bersalah sedang kelaparan di sana. Kita menjadi saksi kepada satu bencana kemanusian paling besar dalam sejarah,” katanya.

Sumber : Dailymail

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.