Siakap Keli
Gambar Hiasan

Kempen Henti Operasi Niaga Untuk Solat Maghrib Di Terengganu Diperluas

KUALA NERUS (Bernama) – Operasi medan selera dan pasar malam di Terengganu akan dihentikan 15 minit semasa solat Maghrib secara berperingkat mulai tahun depan, kata seorang anggota Exco negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Mohd Nurkhuzaini A Rahman berkata cadangan itu bagaimanapun hanya akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri setelah medan selera atau pasar malam tersebut mempunyai kemudahan tertentu seperti surau, tandas dan tempat mengambil wuduk.

“Ini memerlukan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) untuk melengkapkan kemudahan itu di lokasi tersebut.

“Setakat ini, medan selera di Jerteh dekat Besut telahpun melaksanakan kempen itu bermula 15 Syawal lalu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2018 di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Mohd Nurkhuzaini berkata, melalui kempen yang melibatkan 17 peniaga di medan selera Jerteh itu, mereka menutup kedai 15 minit sebelum azan Maghrib dan kembali beroperasi selepas menunaikan solat 10 minit kemudian.

“Peniaga hanya perlu menutup kedai mereka selama 15 minit sahaja dan maklum balas daripada peniaga medan selera itu adalah positif dan pelanggan juga memahami dan menghormati waktu solat tersebut,” katanya.

Mohd Nurkhuzaini yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Putera mengakui pada mulanya, ada bantahan daripada peniaga memandangkan tempoh itu adalah antara waktu puncak, namun akur perniagaan yang berkat adalah yang patuh syariah dan mengutamakan kewajipan diperintahkan Allah.

“Kita juga akan ada satu mesyuarat bersama penjaja kecil dalam masa terdekat yang antara lainnya membincangkan mengenai kempen ini agar mereka juga melaksanakannya di tempat masing-masing,” katanya.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Tambah komen

Sumbang Artikel Anda

Anda suka menulis dan berkongsi? Tetapi tiada medium yang sesuai? Anda dialu-alukan untuk menulis di Siakap Keli sekiranya penulisan anda itu suatu perkara yang manfaat.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di