Siakap Keli
BERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Lebih 1,000 Hadir Himpunan Bantah ICERD Di Ibu Negara

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) — Lebih 1,000 orang termasuk anggota parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) menyertai perhimpunan membantah hasrat kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), di ibu negara hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati peserta yang berpakaian serba putih mula berkumpul di sekitar kawasan Masjid Jamek di sini pada 12 tengah hari dan difahamkan mereka akan berarak ke kompleks beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman selepas zuhur.

Antara pemimpin pembangkang yang hadir ialah Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Lokasi perhimpunan itu juga dikawal ketat oleh polis.

Perhimpunan anjuran Pemuda UMNO dan PAS itu dibuat susulan laporan media sebelum ini yang memetik beberapa menteri Pakatan Harapan bahawa Malaysia akan meratifikasi ICERD.

Rabu lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata rundingan dengan semua kaum akan diadakan sebelum Malaysia meratifikasi konvensyen tersebut selain mengakui ia bukan perkara mudah kerana negara ini mempunyai penduduk berbilang kaum dengan masing-masing ada kepentingan sendiri.

Mengulas perhimpunan hari ini, Asyraf Wajdi berkata ia bertujuan mengekalkan keharmonian negara.

“Kita merancang untuk melakukan jelajah ke seluruh negara bagi menerangkan mengenai isu ICERD sekiranya (ratifikasi) konvensyen itu diteruskan,” katanya.

Antara NGO yang hadir ialah Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang memegang pelbagai sepanduk antaranya tertulis ‘ICERD adalah Malayan Union 2.0’ dan ‘Jangan Jual Kedaulatan Negara’ sambil melaungkan ‘Bantah ICERD’ dan takbir.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Shaharuddin Abdullah ketika ditemui pemberita berkata perhimpunan berjalan dengan aman tanpa provokasi.

“Pihak penganjur mendengar arahan dan polis membenarkan mereka berarak dari Masjid Jamek ke Jalan Tuanku Abdul Rahman,” katanya.

Shaharuddin berkata pihaknya akan memanggil penganjur perhimpunan untuk diambil keterangan berhubung himpunan berkenaan dalam masa terdekat kerana tidak memberi notis rasmi.

“… kita menerima maklumat menerusi media sosial dan polis telah memantau situasi sepanjang perhimpunan ini.

“Semua peserta mendengar arahan dan tidak menghalang lalu lintas jadi memudahkan tugas polis dan ia berakhir dengan aman,” katanya.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Tambah komen

Sumbang Artikel Anda

Anda suka menulis dan berkongsi? Tetapi tiada medium yang sesuai? Anda dialu-alukan untuk menulis di Siakap Keli sekiranya penulisan anda itu suatu perkara yang manfaat.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di