Siakap Keli
Gambar : Mirror UK

”Lihatlah, Dia Sangat Sempurna,” Ibu Sebak Kongsi Gambar Janin Usia 14 Minggu Memegang Jarinya

Seorang ibu yang keguguran berkongsi gambar-gambar yang memilukan dari janinnya di mana kelihatan bahagian tangan dan kaki kecil ‘bayi’ itu berada dalam keadaan sungguh sempurna.

Wanita itu ingin membuktikan bahawa janin adalah ‘bayi sebenar’ selepas doktor menggelarkan anak yang dikenali sebagai Miran itu sebagai ‘bahan buangan perubatan.’

Sharran Sutherland, dari Fair Grove, Missouri, Amerika Syarikat, memuat naik gambar janinnya yang berusia 14 minggu baru-baru ini dan menjadi viral di media sosial.

Gambar : Mirror UK
Gambar : Miran sewaktu berusia 11 minggu – Mirror UK

Perkongsian itu adalah sebagai usaha untuk menunjukkan kepada orang ramai supaya berfikir berulang kali sebelum melakukan pengguguran kerana janin yang dikandungnya sudah terbentuk ‘sempurna’ meskipun Miran hanya setinggi empat inci dan seberat 26 gram ketika dilahirkan.

Wanita berusia 40 tahun itu tidak ingin janinnya dibuang, jadi dia dibolehkan membawa pulang janin tersebut untuk dikuburkan seperti yang diinginkan kerana janin hanya secara rasmi akan digelar sebagai bayi ketika berusia 20 minggu.

Oleh itu, dia dan suaminya Michael, 35, membawa pulang Miran ke rumah dan menyimpannya di dalam peti sejuk beku selama seminggu sebelum menguburkannya di pasu bunga di rumah mereka.

Gambar : Michael memegang ‘anak lelakinya’ – Mirror UK
Gambar : Miran ditanam di pasu bunga di rumah mereka – Mirror UK

Sharran memberitahu, dia mencuba menjalani hidup seperti yang ditakdirkan Tuhan dan kemudian mengambil keputusan untuk berkongsi kisah hidupnya di media sosial supaya  bermanfaat kepada orang ramai.

Dalam gambar yang dimuat naik tersebut wanita ini berkata, “Bagaimana seseorang dapat menafikan bahawa mereka tidak membunuh bayi bila mengambil keputusan menggugurkannya?”

“Saya berharap bahawa dengan berkongsi gambar-gambar bayi lelaki saya yang begitu berharga ini, mungkin akan membuat seseorang yang memikirkan mengenai keguguran akan mengambil keputusan untuk membatalkannya dan membiarkan anak mereka tetap hidup.”

Gambar : Mirror UK

Wanita itu bersyukur kerana dapat merasa kesempatan untuk melahirkan meskipun kehilangan cahaya matanya itu.

“Lihat dia memegang jariku, melihat bagaimana dia terbentuk dengan sempurna, saya merasa amat kagum.

“Saya seakan tidak percaya betapa sempurna kejadiannya. Telinganya, lidahnya, gusinya, bibirnya, saya tidak boleh mempercayainya,” kata Sharran.

Gambar : Mirror UK

Difahamkan, dia mengalami keguguran setelah jantung Miran disahkan telah berhenti berdegup. Doktor mendesak Sharran untuk melakukan satu prosedur dengan cara memotong janin supaya ia dapat dikeluarkan dari rahimnya.

Tetapi dia menolak kerana tidak mahu bayinya itu keluar dalam keadaan tidak sempurna secara cebisan kepingan. Jadi dia memilih untuk diberi induksi dan melahirkan bayi tersebut secara normal pada 23 April lalu.

Sumber : Daily Mail/Tribun News

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.