Siakap Keli

“Saya Syorkan Semua Kakitangan Kerajaan, Swasta Keluar 15 Minit Buat Senaman Dan Selepas Itu Balik Kerja Semula”- Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan agar kakitangan pejabat kerajaan mahupun swasta memperuntukkan masa selama 15 minit melakukan aktiviti senaman sebagai budaya mengamalkan gaya hidup sihat.

Perdana Menteri berkata kakitangan boleh berbuat sedemikian dengan berehat seketika sekitar pukul 11 pagi di luar pejabat berhawa dingin.

“Saya syorkan semua pejabat kerajaan mahupun swasta pukul 11 pagi berhenti kerja (seketika) dan membuat senaman…kalau boleh di luar bilik penghawa dingin.

“Saya syorkan semua (kakitangan) keluar selama 15 minit buat senaman dan selepas itu balik kerja semula,” katanya ketika berucap melancarkan Kempen Promosi Hidup Aktif atau WALK (When Active Living Kicks) peringkat kebangsaan Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dr Mahathir turut menasihatkan rakyat mengamalkan tiga petua untuk kekal sihat iaitu mengelakkan pengambilan makanan berlebihan, tidak merokok dan menghindarkan pengambilan minuman beralkohol.

Beliau berkata tiada rahsia yang diamalkannya untuk kekal sihat pada usia 93 tahun kecuali sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat.

“Cara hidup kita mestilah selesa dan sesuai dengan kesihatan tubuh badan kita,” katanya.

Dr Mahathir turut berkongsi petua iaitu berhenti sewaktu sedang enak menjamah makanan kerana kecenderungan makan dan minum terlalu banyak boleh menyebabkan seseorang itu gemuk serta perut buncit.

“Jangan makan terlalu banyak…kalau makanan itu sedap berhenti makan,” katanya.

Dr Mahathir berkata adalah penting untuk mengawal berat badan sebab apabila badan bersaiz kecil, jantung mudah mengepam darah ke seluruh tubuh badan dengan mudah.

Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia untuk banyakkan berjalan bagi mengelak penyusutan otot ketika sudah berusia.

“Otot kita kalau tak guna lama-kelamaan menjadi kecut dan lemah. Rumah saya ada lif tapi saya pilih naik tangga,” katanya dan menambah dahulu terdapat banyak pekerjaan yang membuatkan badan menjadi sihat tetapi kini banyak masa dihabiskan di pejabat dengan duduk sahaja dari pagi hingga petang.

Sementara itu, Dr Dzulkefly ketika berucap pada majlis itu berkata menurut hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015, satu daripada tiga orang dewasa adalah tidak aktif.

“Secara perbandingan, golongan wanita adalah kumpulan yang tidak aktif berbanding lelaki. Di samping itu, rakyat Malaysia berumur 60 tahun ke atas juga didapati tidak aktif,” katanya.

Katanya Kempen WALK diperkenalkan bagi memastikan rakyat Malaysia harus berubah untuk aktif melakukan pelbagai aktiviti fizikal selain sebagai pengukuhan ke arah menggerakkan rakyat agar hidup lebih aktif.

— BERNAMA

Nur Farra

writ.er / [rahy-ter]
-noun
1. a peculiar organism capable of transforming caffeine into books.

Tambah komen

Sumbang Artikel Anda

Anda suka menulis dan berkongsi? Tetapi tiada medium yang sesuai? Anda dialu-alukan untuk menulis di Siakap Keli sekiranya penulisan anda itu suatu perkara yang manfaat.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di