Siakap Keli
Gambar : Penyelam mencari lokasi jatuhnya pesawat Lion Air ( Riau Online)

Suara Teriakan Memanggil Dari Dasar Laut, Penyelam Dakwa Berdepan Kejadian Aneh Saat Mencari Mangsa Nahas Lion Air

Mermasuki hari ketujuh terhempasnya pesawat Lion Air JT 610, tidak hanya Tentera Nasional Indonesia (TNI), Polis Republik Indonesia (Polri), dan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) yang terlibat dalam mencari dan menyelamat mangsa nahas tetapi pelbagai unit penyelam juga turut dikerahkan dalam operasi ini.

Namun, untuk menjadi penyelam yang teribat dalam operasi besar bukanlah mudah kerana mereka perlu berdepan dengan segala kemungkinan. Disebabkan itu, semua penyelam yang terpilih dalam operasi sebegini bukannya calang-calang kerana mereka diukur berdasarkan pengalaman dan memiliki kemampuan menyelam yang baik.

Gambar : DOK.DERY RIDWANSAH/JAWAPOS.COM

Salah seorang penyelam unit Persatuan Olahraga Selam Seluruh Indonesia (POSSI) dari Semarang iaitu Malik, memberitahu bahawa dia selalu terlibat dalam proses mencari dan menyelamat mangsa nahas.

Jelas penyelam yang berpengalaman ini, dari tidak biasa mengangkat tubuh atau mayat mangsa sehingga ia menjadi satu perkara yang tidak asing lagi bagi seorang penyelam sepertinya.

“Lama kelamaan ya terbiasa juga, kerana saya sudah beberapa kali dipanggil Basarnas dari Semarang untuk mengikuti proses mencari dan menyelamat seperti ini,” kata Malik, ketika ditemui media tempatan di perairan Tanjung Karawang.

Kata Malik, untuk menjadi penyelam yang mengikuti pencarian bersama Basarnas, tidak hanya berdasarkan kemahuan penyelam itu, tetapi dipilih kerana memiliki beberapa kriteria.Antaranya, penyelam bukan sahaja harus berpengalaman tetapi memiliki kemampuan menyelam yang baik, fokus, dan juga mudah bergaul.

Gambar : Tribun News/Twitter SAR Nasional

“Orangnya harus pandai bergaul kerana dalam operasi sebegini kita akan bertemu ramai orang yang tidak dikenali tetapi harus bekerjasama bagi melakukan pencarian. Jadi tidak boleh orang yang kaku,” ujarnya.

Ditanya pengalaman sepanjang proses pencarian mangsa nahas JT 610 di Laut Jaya Karawang ini, dia mendakwa sudah mengalami beberapa kejadian aneh.

Salah satunya, apabila tiba-tiba mendengar ada suara yang memanggil padahal dia berada di kedalaman puluhan meter di bawah laut.

“Memang kadang-kadang ada mengalami hal seperti itu, tetapi saya bersikap biasa sahaja kerana perkara itu memang ada di dalam Al-quran. Jin dan manusia itu memang diciptakan oleh Allah,” ujarnya.

Selain Malik, seorang anggota penyelam dari Angkatan Laut TNI  juga mengaku berdepan kejadian yang serupa.

Gambar : Tribun News/Kompas TV

Saat melakukan selaman di dasar laut bagi mencari mangsa korban pesawat Lion Air JT 610, dia terdengar teriakan-teriakan suara wanita yang memanggil.

Namun, penyelam dari Kopaska ini mengendahkan suara-suara itu dan enggan untuk berfikiran negatif. Semua penyelam yang terlibat harus fokus dalam misi pencarian walaupun ‘diganggu’.

“Kita seperti merasakan, ada yang teriak memanggil-manggil. Tapi kita tidak hiraukan mereka. Kita anggap itu paling kurang pun hanyalah halusinasi penyelam sahaja,” ujarnya.

Semalam, seorang penyelam yang sedang berada dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa nahas JT 610, Syahrul Anto, dilaporkan terkorban setelah tidak sedarkan diri.

Baca : ”Tunggu Aku Di Jannah Sayang,” Sayu, Penyelam Terkorban Saat Mencari Mangsa Nahas Lion Air

Arus bawah laut yang kuat menjadi salah satu cabaran kepada para penyelam, di mana mereka harus membuat pencarian secara maksimum di dasar laut yang mencapai kedalaman sehingga 35 meter.

Khamis lalu, Perakam Data Penerbangan atau lebih dikenali sebagai kotak hitam berjaya ditemui.

Hari ini misi diteruskan dengan fokus bagi mengesan kotak hitam kedua atau Perakam Suara Kokpit (CVR) pesawat malang berkenaan yang boleh memberi jawapan bagaimana pesawat Boeing 737 MAX 8 yang membawa 189 penumpang itu terhempas.

Sumber : Riau Online

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.