Siakap Keli

Maybank QRPay Bakal Dilancarkan di Restoran KFC Seluruh Negara

1  Nov – Maybank dan KFC Malaysia hari ini mengumumkan kerjasama bagi menyediakan pembayaran menggunakan Maybank QRPay di restoran KFC, sekaligus menjadikan jenama tersebut sebagai rangkaian restoran terbesar di Malaysia yang menawarkan kemudahan pembayaran menggunakan kod QR menerusi aplikasi Maybank.

Kerjasama berkenaan telah dilancarkan oleh Presiden Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Abdul Farid Alias bersama Presiden & Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Pengerusi QSR Brands, Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim di dalam sebuah majlis istimewa yang diadakan di KFC The Curve, Petaling Jaya. Turut hadir di dalam majlis
berkenaan adalah Dato’ Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil, Pengarah Urusan QSR Brands serta Dato’ John Chong, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank.

Datuk Farid mengulas bahawa kerjasama di antara Maybank dan KFC Malaysia merupakan sebahagian daripada usaha kedua-dua syarikat bagi menawarkan lebih kemudahan kepada pelanggan, mempertingkat kecekapan serta memacu agenda negara ke arah pembayaran tanpa tunai.

“Kerjasama yang dicipta pada hari ini bertujuan untuk mempertingkatkan pengalaman pelanggan menerusi sebuah ekosistem pembayaran yang mengurangkan keperluan untuk membawa wang tunai serta mampu memberi banyak faedah kepada peniaga,” tambah Datuk Farid. “Dengan lebih 11 juta pengguna perbankan internet- yang mana lebih 4 juta
menggunakan servis perbankan mudah alih- kami percaya bahawa syarikat perniagaan, terutamanya industri kecil sederhana, boleh mendapat manfaat daripada bilangan pelanggan Maybank yang meluas apabila mereka menggunakan platform digital kami seperti Maybank QRPay.”

“Dengan kehadiran KFC yang meluas di seluruh negara dan keupayaan perbankan digital terkemuka Maybank, kami percaya bahawa kami mampu memacu cita-cita negara dalam mempromosikan pembayaran tanpa tunai,” katanya.

Datuk Farid berkata lagi, Malaysia terus menyaksikan peningkatan penggunaan teknologi tanpa tunai dan dijangka menyertai ekonomi besar seperti China, Hong Kong, Singapura dan Korea dalam masa beberapa tahun. “Trend ini boleh dilihat dari peningkatan jumlah pengguna Maybank2u yang mengakses platform berkenaan melalui peranti mudah alih dan komputer, dan pengguna yang semakin kerap memilih transaksi berasaskan tanpa tunai.” Menurut Dato’ Seri Mohamed Azahari, KFC sedang menjalani transformasi digitalnya menerusi pelbagai inisiatif berlandaskan teknologi yang telah dirangka bagi mempertingkatkan pengalaman pelanggan secara menyeluruh.

“Bagi memperluaskan lagi jaringan perkhidmatan dan memastikan kami dapat memenuhi peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan cemerlang serta pengalaman yang terbaik; strategi digital yang menyeluruh telah diatur di dalam usaha kami untuk menyediakan kemudahan capaian, peningkatan kecekapan serta lebih fleksibiliti kepada
pelanggan; daripada titik pesanan, pembayaran, sehingga ke penyediaan dan penghantaran produk,” ujar beliau.

“Tahun ini kami telah melancarkan kemudahan transaksi tanpa tunai di restoran kami dengan pilihan pembayaran digital menerusi kad kredit dan debit. Hari ini, kami akan memperkenalkan sebuah lagi keupayaan baharu melalui kaedah pembayaran QR dengan kerjasama Maybank sebagai sebahagian daripada strategi memfokuskan pelanggan bagi menawarkan perkhidmatan lancar bersama nilai tambah,” jelasnya. Tambah Dato’ Seri Mohamed Azahari, “Bank Negara telah menjangkakan negara Malaysia akan menjadi sebuah masyarakat tanpa tunai menjelang tahun 2020. Oleh yang demikian, kami merasakan kemudahan pilihan pembayaran menerusi telefon bimbit di restoran kami
seperti QRPay merupakan satu langkah progresif untuk memastikan kami kekal menjadi peneraju dalam perniagaan di masa hadapan.”

Sistem pembayaran digital ini telah dilancarkan di 11 buah restoran KFC iaitu KFC Puduraya, Pavilion 2, Bukit Bintang, KL Sentral, Mid Valley Megamall, KLIA2 Arrival dan Departure, Sunway Pyramid, Shah Alam Section 7, The Curve dan VSQ. Ianya bakal disediakan di semua titik jualan KFC seluruh negara menjelang suku pertama 2019. Dengan perkhidmatan terbaru ini, pelanggan yang menggunakan Maybank QRPay di restoran KFC akan menikmati kemudahan membuat pembayaran dengan hanya membuka ciri QRPay di dalam aplikasi Maybank. Pelanggan kemudian perlu memilih fungsi “Bayar” untuk menghasilkan kod QR pada telefon bimbit mereka untuk diimbas oleh pengimbas terminal kad pada titik jualan. Jumlah pembelian kemudiannya didebitkan dari akaun deposit pelanggan sebelum transaksi selesai.

Selain kemudahan yang dinikmati oleh para pelanggan, servis terbaharu ini turut menjanjikan peningkatan kecekapan buat peniaga runcit kerana transaksi QRPay diintegrasikan ke dalam titik jualan mesin daftar tunai bagi memberikan peniaga butiran lengkap daripada setiap pembayaran.

Maybank merupakan bank pertama di Malaysia untuk menawarkan kemudahan pembayaran tanpa tunai melalui kod QR apabila perkhidmatan ini diperkenalkan pada Januari tahun ini. Setakat ini, Maybank telah mengumpul lebih daripada 160,000 peniaga yang menawarkan pilihan pembayaran ini, yang terdiri daripada peniaga kecil, cawangan restoran, serta
peniaga runcit dan pusat kecantikan.

Di bawah kerjasama dengan KFC Malaysia ini juga, platform Maybank akan menyediakan keupayaan pembayaran QR melalui Alipay dan WeChat, dengan tujuan utama untuk membolehkan pelawat dari China membuat bayaran dengan lancar di outlet KFC di Malaysia.

Siakap Keli

Berita sejurus ia berlaku? Itulah saya....