Siakap Keli

”Takkanlah Melayu Dah Begitu Dhaif,” Rais Yatim Tegur Larangan Guna Pantun Dalam Majlis Rasmi

Bekas Menteri, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais bin Yatim melalui satu tweet di laman rasmi twitternya memuat naik sekeping surat berkaitan larangan penggunaan pantun dalam skrip juruacara sebarang acara rasmi di peringkat Angkatan Tentera Malaysia.

Surat bertarikhh 2 November lalu itu ditandatangani oleh Leftenan Jenaral (TUDM) Dato’ Kamarulzaman Bin Mohd Othman. Dalam tweet tersebut, beliau mempertikai larangan berkenaan.

”Baca surat ini. Takkanlah Melayu dah begitu dhaif budaya sendiri hinggakan nak berpantun pun dihalang. Kini tentera tidak dibenarkan guna pantun di dalam skrip.

”Dewan bahasa kamu buat apa? Sasterawan-sasterawan negara, pejuang-pejuang bahasa, tunggu apa lagi?” katanya.

Melalui surat berkenaan yang bertajuk ”Arahan Larangan Penggunaan Pantun Di Dalam Skrip Juruacara Majlis Rasmi Ketenteraan Angkatan Tentera Malaysia”, arahan berkenaan diputuskan oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT) sendiri dalam satu perbincangan.

”Satu perbincangan bersama dengan Yang Berbahagia PAT telah diadakan berhubung kewajaran penggunaan pantun di dalam skrip juruacara semasa berlangsungnya majlis-majlis rasmi ketenteraan.

”Hasil daripada perbincangan tersebut adalah dimaklumkan Yang Berbahagia PAT telah memutuskan bahawa tiada lagi penggunaan pantun di dalam skrip juruacara bagi setiap majlis rasmi ketenteraan,” kata surat tersebut.

Tweet berkenaan turut disambut baik oleh rata-rata netizen yang senada dengannya.

”Panglima dan laksamana dulu pun berpantun, carilah pantun panglima, pendekar. Tak kan sebab tentera nak tunjuk tegas, muka ketat dan terjerit-jerit baru ok. Kalau tentera Amerika dan lain memanglah tak tahu pantun,” kata Azlim Ibrahim.

”Saya setuju dengan Tan Sri. Belum ada yang terbunuh kalau guna pantun. Dan tak kan tercela kegagahan tentera disebabkan kelembutan bait pantun,” kata Afffde pula.

Perkara yang sama turut dipersetujui oleh mdhafigh.

”Tentera bukan sahaja wajib mempertahankan Negara malah pelihara keutuhan bangsa, agama, budaya dan adab kehidupan Malaysia,” katanya.

”Dalam era pantas kini harapan untuk nilai, seni budaya dan warisan kita hidup bergantung kepada institusi yang kita pimpini. Tapi kalau kita sendiri culas, cetek dan tak punya kecintaan terhadap budaya warisan sendiri, maka kitalah pembunuh kepada kebanggaan sendiri,” kata Mahadi J Murat.

Sumber : Twitter Dr. Rais Yatim

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.