Siakap Keli

Thailand Peringkat Akhir Benarkan Ganja Dalam Perubatan, Bacaan Pertama Undang-Undang Dalam Masa Kurang Sebulan

Thailand ketika ini sedang mengusahakan satu rancangan untuk membenarkan penggunaan ganja dalam perubatan ketika negara berkenaan berharap dapat meraih manfaat daripada industri ganja yang bernilai bilion dolar dimana produk-produk ganja Thailand dianggap antara yang terbaik di dunia.

Beberapa negara antaranya Kanada, Israel, Australia dan beberapa negeri di Amerika Syarikat sudahpun membenarkan penggunaan ganja dalam perubatan, dan Thailand jika berjaya, bakal menjadi negara Asia pertama yang memasuki senarai berkenaan.

Menurut unjuran Amerika Syarikat, menjelang tahun 2025, industri ganja dijangka mencapai nilai USD 55.8 bilion (RM 232.49 bilion).

Draf untuk memperkenalkan undang-undang bagi membolehkan ganja digunakan untuk tujuan perubatan sudahpun dihantar kepada kerajaan junta yang memerintah Thailand pada hari ini.

”Draf sudahpun dihantar kepada Speaker,” kata wakil Dewan Legislatif Kebangsaan (NLA), Jet Sirathraanon. Beliau turut memberitahu bacaan pertama draf berkenaan di peringkat Parlimen dijangka akan berlangsung dalam tempoh kurang sebulan.

”Ganja hanya dibenarkan untuk perubatan sahaja, bukan untuk tujuan rekreasi,” katanya.

Sehingga kini, ganja kekal diharamkan di Thailand dengan hukuman berat menanti buat mereka yang ditangkap mengedarnya biarpun sejak sekian lama Thailand dikenali antara hub pengeluaran utama dadah dunia.

Bagaimanapun, idea untuk membenarkan penggunaan ganja dalam perubatan sudahpun diterima masyarakat Buddha di sana sejak dahulu lagi. Malah, rakyatnya juga berpendapat bahawa undang-undang berkaitan dadah perlu dikaji semula.

Jet menambah, Thailand tidak boleh melengah-lengahkan pembaharuan ini ketika negara-negara lain seperti Kanada dan Australia sudahpun melangkah jauh, termasuk mengeksport secara sah produk ganja mereka.

Menurutnya, banyak manfaat yang bakal diperolehi oleh negara itu termasuklah rakyatnya yang sedang menderita dan ganja mungkin jawapan kepada penyakit-penyakit berkenaan.

Selain itu, beliau turut memberitahu bahawa pokok ganja yang ditanam di negara-negara Asia Tenggara terutmanya di Segi Tiga Emas (Thailand, Laos dan Myanmar) adalah berkualiti tinggi.

”Kami melakukan ini kerana ia memberi manfaat kepada orang-orang Thai. Kita mempunyai ganja terbaik di dunia,” katanya yang turut dipersetujui oleh pakar-pakar dalam dunia ganja sebagai perubatan.

”Hari ini, Thailand mampu menghasilkan produk ganja berkualiti tinggi dengan harga lebih rendah daripada yang dikeluarkan oleh firma-firma di Barat,” kata Jim Plamondon, Timbalan Pesiden Thai Cannabis Corporation, firma ganja pertama Thailand yang beroperasi secara sah.

”Akan datang, Thailand akan mengambil kembali legasi budayanya sebagai pemimpin dalam industri penanaman, pemprosesan dan penghasilan produk ganja.

”Mana-mana syarikat yang serius dalam industri ini perlu beralih arah dan mendapatkan bekalan bahan mentah daripada Thailand.”

Sumber : Dailymail

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.