Siakap Keli
BERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kira-Kira 10 Rumah Rosak Terkena Letupan Mercun

PORT DICKSON, 6 Nov (Bernama) — Kira-kira 10 rumah penduduk Flat Taman Sri Bandar di sini mengalami kerosakan akibat terkena letupan dipercayai mercun sebaik dinyalakan oleh sekumpulan lelaki tengah malam tadi.

Menurut penduduk yang mahu dikenali sebagai Marina, 51, beliau terkejut apabila secara tiba-tiba terdengar bunyi yang sangat kuat dari arah dapur rumahnya disusuli bunyi cermin berderai dalam kejadian kira-kira pukul 12 malam.

“Ketika kejadian, saya baru sahaja masuk ke dalam bilik untuk tidur dan berasa takut apabila mendengar bunyi itu.

“Saya segera bergegas ke dapur dan kemudian mendapati cermin tingkap belakang rumah ini dan rumah jiran lain di tingkat bawah hingga tingkat atas pecah teruk,” katanya kepada Bernama.

Marina berkata anggota keluarganya telah menghubungi polis bagi melaporkan perkara itu sejurus kejadian.

“Mujur anak bongsu saya yang berada di dapur sempat mengelak dari terkena serpihan kaca dan tidak mengalami kecederaan. Kejadian ini menyebabkan kerugian kepada penduduk flat kerana banyak yang perlu dibaikpulih,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk flat empat tingkat itu yang mahu dikenali sebagai Ina, 60, semua cermin tingkap dapur rumahnya turut musnah akibat letupan mercun itu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan mereka sekeluarga rasa tidak selamat kerana dikhuatiri berlaku perkara tidak diingini disebabkan rumah terdedah ekoran semua tingkap pecah.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohamed ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya pergi ke tempat kejadian setelah menerima panggilan.

Beliau berkata orang awam diingatkan agar tidak bermain mercun dan menghormati jiran tetangga dan pihak polis akan mengambil tindakan tegas sekiranya ada pelanggaran peraturan.

Bagaimanapun, katanya, tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian itu setakat ini.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.